Karnival Tadika Permata MAIWP serlah bakat, kreativiti anak-anak

Karnival Tadika Permata MAIWP serlah bakat, kreativiti anak-anak

SYED Kamarulzaman Syed Kabeer ketika melawat reruai robotik pada Karnival Tadika Permata MAIWP di Kompleks Darul Kifayah, Batu Caves di sini, hari ini. - UTUSAN/ SYAKIR RADIN /
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Karnival Tadika Permata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan MAIWP Kids Tahun 2026 menjadi platform untuk kanak-kanak mengembangkan bakat, kreativiti dan keyakinan diri menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan.

Karnival yang julung kali dianjurkan itu menghimpunkan lebih 1,500 kanak-kanak, ibu bapa serta warga pendidik membabitkan penyertaan 73 Tadika Permata MAIWP dari Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Karnival itu turut menyediakan kira-kira 15 reruai dengan menawarkan pelbagai aktiviti dan informasi kepada kanak-kanak dan pengunjung termasuk pertandingan mewarna, bengkel robotik bagi memberi peluang kepada kanak-kanak mengetengahkan kreativiti masing-masing dalam suasana pembelajaran yang santai dan menyeronokkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, ibu bapa turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma di reruai yang disediakan MAIWP.

Karnival tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan murid Tadika Permata MAIWP dan MAIWP Kids antaranya azan, teater muzikal, daie, sajak, nasyid, sajak patriotik dan bicara berirama.

ANTARA aktiviti yang terdapat pada Karnival Tadika Permata MAIWP di Kompleks Darul Kifayah, Batu Caves di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, penganjuran karnival itu bukan sahaja menghimpunkan anak-anak dalam satu program bersama malah menjadi ruang untuk melihat perkembangan, bakat, kreativiti dan keyakinan diri mereka.

Katanya, pendidikan awal kanak-kanak merupakan fasa penting dalam membentuk asas perkembangan seseorang anak termasuk dari aspek adab, disiplin, keberanian, kemahiran berkomunikasi, keyakinan diri serta nilai-nilai murni.

Beliau berkata, setiap persembahan mempunyai nilai tersendiri dalam membina keberanian serta keyakinan mereka untuk tampil di hadapan orang ramai.

“Mungkin bagi kita, ia kelihatan seperti satu persembahan yang ringkas. Tetapi bagi seorang anak kecil, berdiri di atas pentas di hadapan orang ramai merupakan satu pencapaian yang besar.

“Saya melihat penganjuran karnival seperti ini sebagai satu pendekatan yang baik untuk melengkapkan proses pembelajaran anak-anak melalui pengalaman yang lebih menyeronokkan, santai dan bermakna,” katanya ketika merasmikan Karnival Tadika Permata MAIWP dan MAIWP Kids Tahun 2026 di Dewan Darul Kifayah di sini, hari ini.

Menurutnya, Tadika Permata MAIWP antara yang menawarkan kadar yuran rendah di Wilayah Persekutuan dengan kadar tidak melebihi RM50 sebulan manakala MAIWP Kids dikenakan RM300 sebulan.

Katanya, bagi memastikan pendidikan awal dapat dinikmati secara lebih meluas, MAIWP turut memperuntukkan kira-kira RM6 juta dana zakat menerusi 77 tadika di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi menampung keperluan operasi.

Ujarnya lagi, MAIWP akan terus memberikan perhatian terhadap kelestarian pendidikan awal kanak-kanak dengan memastikan institusi pendidikan di bawahnya sentiasa diperkasa mengikut keperluan semasa.

“Usaha ini selaras dengan aspirasi MAIWP untuk memastikan pendidikan menjadi salah satu wadah penting dalam membina kehidupan masyarakat yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru dan pengurusan Tadika Permata MAIWP serta MAIWP Kids atas komitmen mendidik dan membimbing anak-anak dalam memastikan mereka membesar sebagai generasi berilmu, berakhlak, berkeyakinan dan berjaya.

Sehingga 25 September lalu, MAIWP telah mengagihkan RM837.188 juta dana zakat menerusi 38 skim bantuan yang melibatkan dua kluster selain bantuan secara tidak langsung melalui pelbagai program yang dilaksanakan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×