BUKIT MERTAJAM : Suasana hiba menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah di sini petang ini apabila ratusan ahli keluarga, kenalan, jiran tetangga serta orang ramai memenuhi kawasan tersebut bagi menyaksikan pengebumian abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Allahyarham Idrus Ibrahim, 83.
Jenazah Allahyarham sebelum itu dibawa ke tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 2.10 petang selepas solat jenazah selesai dengan diimamkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman.
Bacaan talkin seterusnya disempurnakan oleh Imam 1 Masjid Jamek Cheruk Tok Kun Bawah, Ustaz Tengku Zahari Tengku Baharom, sebelum urusan pengebumian selesai sepenuhnya kira-kira pukul 2.50 petang.
Anwar bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut serta dalam majlis pengebumian itu kelihatan sugul, namun, masih mampu menyapa setiap hadirin yang hadir serta membantu menguruskan jenazah abangnya itu.
“Terima kasih kepada semua yang hadir,” katanya dalam satu ucapan ringkas.
Semalam, Anwar menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya berkongsi berita duka mengenai pemergian abang kandungnya itu yang juga anak kedua daripada lapan beradik ketika beliau dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke China.
Anak kepada Allahyarham, Aida Rafizah Idrus, 54, dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa, arwah bapanya meninggal dunia ketika sedang tidur dipercayai berpunca daripada sakit tua.-UTUSAN











