GEORGETOWN: Penasihat DAP, Lim Guan Eng mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mendesak Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menggugurkan UMNO daripada kerajaan negeri.
Cabaran itu dibuat susulan kenyataan Ahmad Zahid yang sebelum ini mencabar kerajaan campuran diterajui PH supaya menyingkirkan UMNO daripada Kerajaan Persekutuan.
Guan Eng berkata, Ahmad Zahid sepatutnya mengemukakan cabaran sama kepada PH Pulau Pinang berhubung kedudukan UMNO dalam kerajaan negeri.
“Kenapa Zahid tidak berani mencabar PH Pulau Pinang untuk menggugurkan UMNO daripada kerajaan negeri Pulau Pinang?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu berkata, UMNO kini mempunyai wakil dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), dua majlis bandaraya serta syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Menurutnya, PH masih mampu mengekalkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang walaupun tanpa dua wakil UMNO yang dipilih.
Beliau mendakwa UMNO mengambil kesempatan daripada sikap teragak-agak kepemimpinan PH Pulau Pinang berhubung peranan parti itu dalam kerajaan negeri, sedangkan UMNO pada masa sama menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
“Penyokong PH sedar bahawa UMNO dan PAS akan terus mengamalkan politik ekstrem serta retorik yang memecah-belahkan PH demi meraih kuasa walau apa jua cara,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan UMNO memberi kata dua kepada Kerajaan Perpaduan supaya mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 bagi mendapatkan mandat baharu atau secara rasmi mengeluarkan UMNO daripada gabungan berkenaan.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, tuntutan itu dibuat selepas mengambil kira desakan supaya UMNO tidak lagi kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.-UTUSAN










