JOHOR BAHRU: Kejadian gempa bumi lemah berskala 4.4 skala Richter yang dilaporkan berlaku di Batu Pahat kelmarin boleh berulang sekali lagi pada bila-bila masa.
Ketua Kumpulan Penyelidikan Seismologi Kejuruteraan dan Kejuruteraan Gempa Bumi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd. Zamri Ramli berkata, gegaran di Semenanjung Malaysia boleh dikaitkan dengan gelinciran sesar aktif yang mengalami pengaktifan semula.
Katanya, gempa bumi susulan boleh berlaku kerana bahagian sesar berdekatan menyesuaikan semula taburan tegasan, bagaimanapun saiznya bergantung kepada pelbagai faktor.
“Secara umumnya, gempa susulan lazimnya lebih kecil dan bilangannya berkurang mengikut masa tetapi masa serta magnitud tepat sesuatu kejadian tidak boleh diramalkan.
“Merujuk kepada kejadian gempa bumi sebelum ini, kemungkinan gempa lebih besar berlaku adalah rendah. Bagaimanapun, penilaian setempat bergantung pada data rangkaian seismik Jabatan Meteorologi Malaysia dan analisis geologi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, gempa bumi yang dilaporkan berlaku di Batu Pahat itu berkedalaman 10 kilometer dan dikategorikan sebagai gempa bumi cetek yang lemah.
“Laporan tidak rasmi memaklumkan gegaran turut dirasakan di kawasan sekitar Johor sehinggalah Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang serta Lembah Klang. Ini kerana Semenanjung Malaysia berada dalam kawasan yang relatif stabil terhadap seismik.
“Gempa bumi saiz ini tidak dijangka menghasilkan tsunami. Tsunami memerlukan anjakan menegak dasar laut yang cukup besar untuk memindahkan isipadu air yang luas. Magnitud 4.4 terlalu kecil,” katanya.-UTUSAN











