KUALA LUMPUR: Penahanan warga asing di Lebuh Pudu pada minggu lalu bukan sekadar satu lagi berita mengenai operasi penguatkuasaan selepas ia menjadi peringatan bahawa pematuhan imigresen di Malaysia tidak boleh bergantung kepada serbuan semata-mata.
Profesional dasar awam, Dini Nurhani berkata, penguatkuasaan mungkin dapat mengesan masalah, tetapi pencegahan memastikan sistem kekal teratur selepas dalam konteks ini, Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) wajar diberikan perhatian yang lebih daripada kebiasaannya.
“Bagaimana kita boleh mengelakkan masalah ini daripada terus terkumpul sehingga memerlukan penahanan secara besar-besaran, FWCMS menawarkan satu jawapan. Ia bukan sesuatu yang glamor dan sememangnya bukan baharu, tetapi merupakan penyelesaian digital praktikal yang telah lama kita usahakan,” katannya hari ini.
Menurut beliau, jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri di Parlimen bertarikh 10 Februari 2026 menerangkan bahawa FWCMS menyokong permohonan, kelulusan, pemantauan dan pengurusan pas kerja secara digital dengan sistem ini menghimpunkan maklumat berkaitan majikan, kuota, saringan kesihatan dan kemasukan pekerja, di samping menyelenggara rekod berpusat yang boleh diaudit.
Jelasnya, jawapan tersebut turut mengenal pasti pengesahan biometrik sebagai langkah perlindungan terhadap penipuan identiti, rekod berganda dan penyalahgunaan dokumen dengan mendigitalkan proses permohonan, semakan biometrik dapat membantu mencegah identiti berganda.
Katanya. papan pemuka boleh menandakan permit yang telah tamat tempoh, manakala notifikasi boleh dihantar kepada majikan sebelum tempoh permit berakhir dan bertukar menjadi pelanggaran.
Untuk ini, katanya, FWCMS direka untuk menjadikan pematuhan bukan sekadar soal mengesan kesilapan, tetapi mencegahnya daripada berlaku.
“Ambil contoh modul Bio-Medical Verification. Modul ini memastikan pekerja yang menjalani saringan kesihatan adalah individu yang sama yang berlepas dari negara sumber dan tiba di Malaysia, kesinambungan ini penting apabila dokumentasi yang tidak boleh dipercayai menjadi salah satu ruang kelemahan terbesar,” tambahnya.
Bagi pembaharuan permit, katanya, ia khususnya dalam urusan pembantu rumah asing, majikan kini boleh mengemukakan permohonan PLKS secara dalam talian sehingga 90 hari sebelum tarikh tamat tempoh, dengan ePASS menggantikan sistem pelekat lama.
Menurutnya, ini bukanlah pembaharuan yang kelihatan besar, tetapi ia telah membantu mengurangkan kerenah birokrasi dan memberikan majikan lebih sedikit alasan untuk mengabaikan tanggungjawab mereka.
“Menyediakan proses pembaharuan secara dalam talian memberi peluang kepada majikan untuk menguruskan dokumentasi sebelum tarikh akhir semakin hampir, menyediakan maklumat yang diperlukan dan bertindak secara bertanggungjawab, bukannya hanya bertindak selepas timbul masalah,” katanya.
Pada masa sama, katanya, FWCMS juga mempunyai fungsi yang boleh menyokong perancangan penguatkuasaan yang lebih bersasar.
Katanya, Modul eEnforcement diterangkan sebagai menyediakan maklumat awal kepada Jabatan Imigresen mengenai permit kerja yang telah tamat tempoh.
“Kekuatan utama FWCMS terletak pada kesannya dalam urusan seharian — pengurangan permit yang tamat tempoh, proses pembaharuan yang lebih pantas, rekod yang lebih teratur serta sistem yang lebih telus dan mampu memastikan pihak berkepentingan bertanggungjawab.
“Dengan rekod yang tepat, penglibatan aktif majikan dan tindakan susulan yang diselaraskan, FWCMS boleh menjadi sebahagian penting daripada usaha Malaysia menangani cabaran pematuhan pekerja asing, di samping menyokong penguatkuasaan yang berkesan serta sistem pekerjaan yang sah dan lebih teratur,” katanya. – UTUSAN









