FDS ditangguh: KKM guna mod pengangkutan darat, air

FDS ditangguh: KKM guna mod pengangkutan darat, air beri rawatan pedalaman

Operasi mencari dan menyelamat di sekitar lokasi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang terhempas berdekatan Long Lellang STOLport, Ulu Baram, Sarawak, kelmarin. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini memaksimumkan penggunaan mod pengangkutan alternatif melalui jalan darat dan jalan air susulan penangguhan sementara operasi Flying Doctor Service (FDS) di Sarawak.

KKM dalam kenyataan memaklumkan, Langkah ini bagi memastikan kesinambungan rawatan dengan menilai semula program perkhidmatan kesihatan ke setiap lokaliti berdasarkan tahap kebolehcapaian dan keadaan setempat.

Walau bagaimanapun, katanya, sebarang kaedah alternatif ini hanya akan dilaksanakan setelah proses penilaian risiko merangkumi keadaan laluan, tempoh perjalanan, cuaca, dan kesesuaian kenderaan didapati benar-benar selamat untuk para petugas.

“Bagi lokaliti yang berdepan kekangan akses geografi dan infrastruktur yang ketara, KKM sedang melaksanakan penyelarasan logistik yang khusus.

“Ini termasuk kawasan seperti Pa Tik yang memerlukan perjalanan berjalan kaki sehingga dua hari dari Klinik Kesihatan Bario. Turut terjejas adalah Ba Itam, Ba Abang, dan Long Tebangan yang menuntut perjalanan empat empart hingga 10 jam dari Klinik Kesihatan Long Bedian susulan laluan yang terputus dan keadaan jambatan runtuh,” katanya.

Menurut KKM, bagi kawasan-kawasan berisiko tinggi ini, serta untuk keperluan Pemindahan Perubatan kecemasan (MEDEVAC), KKM akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti mana yang telah pun dimaklumkan sebelum ini.

Jelasnya, tempoh penangguhan operasi FDS adalah bergantung sepenuhnya kepada hasil siasatan rasmi oleh pihak berkuasa.

Katanya, penangguhan ini melibatkan tujuh pasukan yang memberi liputan kepada 85 lokaliti, dengan anggaran populasi sekitar 14,830 orang penduduk di kawasan pedalaman.

“Walaupun keselamatan dan kebajikan petugas kesihatan kekal menjadi keutamaan mutlak, KKM memberi jaminan bahawa kesan penangguhan ini akan diminimumkan.

“KKM akan memberikan kerjasama penuh kepada agensi berkaitan bagi memastikan siasatan insiden ini dapat dilengkapkan secara menyeluru,” katanya.

Dalam pada itu, KKM menegaskan bahawa semua petugas kesihatan yang terlibat dalam pasukan FDS akan terus dilindungi berdasarkan peraturan dan polisi yang terpakai kepada penjawat awam.

KKM kini sedang melaksanakan audit menyeluruh dengan meneliti semula pemetaan lokasi perkhidmatan, tahap pematuhan standard syarikat pengendali, serta keperluan sokongan psikososial kepada petugas.

“Operasi ini hanya akan disambung semula setelah KKM berpuas hati secara mutlak bahawa keupayaan operasi dan sistem penyampaian ini benar-benar selamat.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen KKM untuk memastikan kesinambungan akses kesihatan dipelihara melalui keputusan yang berasaskan risiko, berfasa dan berakauntabiliti, tanpa berkompromi terhadap keselamatan petugas dan pesakit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×