NARATHIWAT (THAILAND): Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) menolak cadangan membawa masuk beberapa kumpulan pembebasan lain ke meja dialog damai Selatan Thai yang berlangsung bersama Kerajaan Thailand.
Jurucakap Pasukan Perunding BRN, Dr. Nikmatullah Seri berkata, rundingan akan menjadi lebih sukar sekiranya kumpulan pembebasan lain turut menyertai meja dialog kerana ia boleh menjejaskan strategi dan perancangan BRN.
Katanya, Kerajaan Thailand mahu rundingan melibatkan semua pihak termasuk Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP), namun BRN berpandangan kumpulan berkenaan bebas mengadakan rundingan dengan kerajaan secara berasingan.
“Bagaimanapun, jika meminta mereka untuk menyertai rundingan yang sedang berjalan dengan BRN, saya fikir ia menjadi agak sukar kerana seperti yang telah saya katakan, BRN adalah organisasi rahsia terutama mengenai rundingan damai.
“Ada orang yang tidak terlibat dalam rundingan (duduk di meja rundingan) menyertai tetapi kita tidak boleh mendedahkan individu-individu ini kepada orang ramai. Contohnya, hari ini kita mempunyai wakil untuk bertemu dengan wartawan, kita tidak membawa orang yang tidak berkaitan bersama kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas hasrat Thanut untuk membawa semua kumpulan pembebasan menyertai Proses Dialog Damai Selatan Thai yang akan disambung semula tidak lama lagi.
Sebelum ini, Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG) pernah mengadakan rundingan damai dengan Majlis Syura Patani (MARA Patani) yang dianggotai PULO, BIPP dan GMIP, namun gagal mencapai sebarang keputusan sebelum dialog diteruskan hanya dengan BRN.
Dr. Nikmatullah berkata, BRN menganggap kumpulan pembebasan lain sebagai rakan seperjuangan dan tidak menghalang mereka berunding dengan mana-mana pihak.
Katanya, satu mesyuarat lebih besar membabitkan semua kumpulan pembebasan perlu diadakan terlebih dahulu sekiranya meja rundingan mahu dibuka kepada pihak selain BRN. – UTUSAN











