BRN kemuka 3 syarat gencatan senjata

BRN kemuka 3 syarat gencatan senjata

BARISAN Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) mengemukakan tiga syarat kepada kerajaan Thailand sekiranya mahu hentikan sementara insiden keganasan di tiga Wilayah Selatan Thailand. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Me­­nerima identiti Melayu dan status pribumi orang Melayu antara tiga syarat dikemukakan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) kepada Kerajaan Thailand jika mahu memeterai gencatan senjata, sekali gus menghentikan sementara insiden keganasan di tiga wilayah negara berkenaan

Jurucakap Pasukan Perun­ding BRN, Dr. Nikmatullah Seri berkata, syarat lain kepada rundingan berkenaan adalah membebaskan banduan daripada penjara dan menamatkan Koridor Ekonomi Selatan (SEC).

Katanya, setakat ini BRN hanya membincangkan proses rundingan damai dengan Kerajaan Thailand dan belum menangani isu-isu substantif.

“Buat masa ini, mereka tidak perlu membuat spekulasi tentang apa yang BRN mahu lakukan. Kita belum sampai ke peringkat itu lagi. Kita belum membincangkan bentuk dan kaedah tadbir urus.

“Tetapi kita mahukan langkah-langkah untuk membina keyakinan dengan pihak Thailand. Contohnya, bagaimana kita akan kembali ke kawasan itu untuk berkomunikasi dengan masyarakat? Jika kita ingin kembali ke kawasan itu, mesti ada gencatan senjata terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Nikmatullah berkata, gencatan senjata mesti mempunyai mekanisme tertentu yang dipersetujui dan ditandatangani sebelum BRN boleh kembali ke kawasan itu untuk berkomunikasi dengan masyarakat di Wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala.

Katanya, gencatan senjata adalah syarat penting untuk perundingan awam dan pihak tentera Thailand perlu bersetuju dengan syarat tersebut.

“Ini adalah syarat-syarat BRN. Selebihnya bergantung pada pihak Thailand sama ada mereka akan menghentikan keganasan buat sementara waktu atau apa sahaja.

“Kami sudah bersedia tetapi jangan lupa bahawa BRN melihat Thailand tidak serius. Setiap kali ada rundingan, mereka membangkitkan isu-isu baharu. BRN sudah bosan dengan situasi ini,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa penggunaan senjata adalah jalan terakhir dalam menuntut ‘pembebasan’ atau kuasa pentadbiran sendiri.

Beliau berkata, BRN pernah menggunakan kaedah aman sebelum ini tetapi Kerajaan Thailand tidak memahami bahasa keamanan.

“Pihak Thailand tidak memahami bahasa lain selain bahasa keganasan. Jika pihak Thailand sanggup memahami bahasa rundingan, kita tidak perlu menggunakan bahasa keganasan. Kita faham bahawa terdapat kumpulan di Thailand yang mahukan keamanan.

“(Tetapi) pihak Thailand mempunyai dua tangan iaitu sebelah tangan memberi madu sebelah tangan lagi memberi racun. Ini bukanlah pendekatan aman yang kita mahukan. Tiada keikhlasan langsung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×