PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Pas menggunakan taktik melengahkan (delay tactic) dalam memberikan penjelasan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung isu penggantungan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, RoS sebelum ini meminta pemimpin PN memberikan penjelasan mengenai sebab pendaftaran gabungan itu tidak wajar dibatalkan dalam tempoh 30 hari ditetapkan.
Katanya, Pas selaku Pengerusi dan pentadbir PN sepatutnya mengemukakan penjelasan berkenaan, namun Setiausaha Agung PN daripada Pas pula meminta RoS menjelaskan aduan Bersatu yang perlu dijawab.
“Alasan Setiausaha Agung PN bahawa pihaknya tidak mengetahui apakah aduan Bersatu yang perlu dijawab sukar diterima kerana pada 22 Ogos 2026, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sendiri mengakui telah dipanggil RoS dan disiasat selama empat jam berhubung aduan Bersatu.
“Dalam kenyataannya, Takiyuddin mengaku telah memberikan penjelasan kepada ROS mengenai sebab Bersatu tidak dipanggil dalam perbincangan berkaitan PRN Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Tun Faisal, RoS pada 11 Ogos 2026 turut mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dibabitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN pada 16 Julai 2026.
Katanya, aduan berkenaan turut menyentuh isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan itu.
“Justeru, tidak munasabah sekiranya perkara yang telah disiasat dan diberi penjelasan selama empat jam sebelum ini sehingga kononnya terlepas solat Jumaat kini dijadikan alasan untuk meminta penjelasan semula daripada RoS.
“RoS perlu berhati-hati dengan helah dan taktik melengahkan (delay tactic) dalam isu penggantungan penggunaan logo PN,” katanya.
Tun Faisal berkata, sejak Pas mengambil alih kepengerusian dan pentadbiran PN, Bersatu mempunyai pengalaman mengenai sikap berlengah, helah dan taktik melengahkan oleh Pas yang didakwa berlaku berulang kali.
Katanya, antara perkara berkenaan termasuk isu pindaan Perlembagaan PN apabila keputusan untuk meminda perlembagaan itu yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari 2026 dilengahkan dan tidak dilaksanakan.
“Pas telah meminta penangguhan sebanyak dua kali, pertama kali selama dua bulan dan kali kedua, semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei 2026, Pas sekali lagi meminta penangguhan untuk tempoh sebulan.
“Selepas itu Pas telah memutuskan hubungan dengan Bersatu dan sehingga sekarang keputusan Majlis Tertinggi PN untuk meminda Perlembagaan PN tidak dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, isu kedua membabitkan pemakluman mengenai status Ahli Parlimen Bersatu yang telah dipecat kepada Speaker Dewan Rakyat dan seterusnya memindahkan kedudukan mereka dari kerusi blok pembangkang.
Katanya, Setiausaha Agung Bersatu telah menghantar surat pemakluman mengenai Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat seawal 23 Februari 2026, sehari selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari 2026.
“Bagaimanapun, status Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang dipecat ini tidak dimaklumkan dengan segera kepada Speaker dan kedudukan kerusi mereka tidak dialihkan.
“Akhirnya, Pas tidak melakukan seperti yang dibincangkan, sebaliknya mereka telah mengalihkan kerusi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang bersama beliau ke tempat lain. Peliknya, boleh pula perkara ini dilakukan dengan segera,” katanya.
Tun Faisal berkata, isu ketiga ialah soal penamaan Ketua Pembangkang apabila Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari 2026 memutuskan jawatan itu dikosongkan dan Pas perlu segera menamakan Ketua Pembangkang dalam kalangan Ahli Parlimen Pas.
“Pelaksanaan keputusan Majlis Tertinggi PN ini telah dilengahkan. Keputusan itu juga diremehkan oleh Presiden Pas dan pada 13 Jun 2026, keputusan Majlis Tertinggi PN ini telah dilanggar oleh Presiden Pas dengan menamakan semula Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang tanpa melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya.
Menurutnya, sikap berlengah itu turut berlaku dalam soal pemanggilan Mesyuarat MT PN, mesyuarat persiapan pilihan raya dan mesyuarat rundingan kerusi selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan dibubarkan.
Katanya, perkara sama turut dilihat dalam pemanggilan mesyuarat jawatankuasa electoral pact yang membabitkan parti-parti bukan anggota PN walaupun ia merupakan antara keputusan Majlis Tertinggi PN.
“Sikap berlengah ini juga dilihat ketika memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan yang kemudiannya baru diketahui bahawa rupanya sudah ada rundingan di belakang-belakang dengan UMNO.
“Ini dilakukan tanpa pengetahuan PN dan membelakangkan parti-parti anggota PN,” katanya.
Tun Faisal berkata, berdasarkan pengalaman Bersatu, RoS perlu berhati-hati dengan pemimpin Pas yang didakwanya menggunakan taktik melengahkan, tidak amanah dan khianat dalam melaksanakan keputusan musyawarah.
“RoS tidak seharusnya membenarkan permintaan pentadbir PN untuk mendapatkan penjelasan itu menjadi ruang bagi melengah-lengahkan penjelasan kepada RoS lebih-lebih lagi kerana mereka telah diberi peluang membuat penjelasan selama empat jam mengenai aduan Bersatu terhadap mereka,” katanya. – UTUSAN











