Baja lewat: Petani dakwa pendapatan merosot 50 peratus

Baja lewat: Petani dakwa pendapatan merosot 50 peratus

KERJA-kerja menuai padi sudah dilakukan di sesetengah sawah yang berada dalam Kawasan MADA di Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berdepan kerugian apabila hasil padi musim tuaian kali ini merosot sehingga 50 peratus berikutan kelewatan agihan baja dan faktor cuaca.

Situasi berkenaan turut menyebabkan kos pengeluaran meningkat apabila sebahagian pesawah terpaksa membeli baja tambahan menggunakan wang sendiri bagi memastikan tanaman dapat terus diusahakan.

Pesawah, Mashitoh Abu Seman, 68, berkata, kelewatan agihan baja sebelum ini menyebabkan ada pesawah memperoleh hasil kurang daripada dua tan metrik bagi setiap 0.3 hektar, berbanding 2.5 tan pada musim lalu.

“Apabila baja lewat diagihkan, ramai pesawah terpaksa membeli sendiri baja tambahan berharga RM50 sekampit. Bagi satu relung atau 0.3 hektar, kami memerlukan dua kampit baja.

“Jadi, kos mengerjakan sawah meningkat. Saya percaya musim ini paling teruk dan kebanyakan pesawah sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mashitoh yang mengusahakan 4.3 hektar sawah di Jerlun berkata, keadaan bertambah buruk apabila faktor cuaca menyebabkan hasil padi yang di­tuai terpaksa dipotong sehingga 20 peratus mengikut syarat pemutuan.

Katanya, pesawah yang terjejas berharap kerajaan melalui kementerian berkaitan mempertimbangkan pemberian pam­­pasan susulan kemerosotan hasil tanaman.

“Kalau kerugian mencecah 50 peratus, nilai itu jugalah pampasan yang kami harapkan melalui subsidi padi nanti.

“Kami berharap kerajaan dapat menunaikan permintaan ini kerana pesawah sudah letih menyuarakan keluhan tetapi masalah masih berulang,” katanya.

Sementara itu, Salleh Rahim, 69, berkata dia terpaksa mengeluarkan kos tambahan sehingga RM5,000 untuk membeli baja bagi 14.4 hektar sawahnya berikutan kelewatan menerima input pertanian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×