Amaran Tun Razak: Komunalisme, rasuah kekal jadi cabaran negara

Amaran Tun Razak: Komunalisme, rasuah kekal jadi cabaran negara

ANWAR ketika berucap pada Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak Arkitek Pembangunan Negara Bangsa di Memorial Tun Abdul Razak Jalan Perdana di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua daripada tiga amaran oleh Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein iaitu komunalisme dan rasuah masih menjadi cabaran kepada negara sehingga hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tun Abdul Razak ketika era 1970-an telah mengenal pasti tiga cabaran besar yang boleh menggugat negara iaitu komunisme (communism), komunalisme (communalism) dan rasuah (corruption).

Katanya, peringatan itu tidak seharusnya dilihat sekadar catatan sejarah, sebaliknya perlu dijadikan pedoman oleh generasi baharu dalam memastikan kestabilan dan masa depan negara terus terpelihara.

“C yang pertama, ‘communism’. C yang kedua ialah ‘communalism’. Yang ketiga, bayangkan tahun 70-an, Tun Razak menyebut ancaman ketiga yang bahaya bagi negara iaitu ‘corruption’, itu 3C.

“Communism itu sudah tiada tetapi ideologi communalism masih menebal dan corruption masih menjadi salah satu masalah besar,” katanya dalam Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak, ‘Arkitek Pembangunan Negara Bangsa’ di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana di sini hari ini.

Anwar berkata, ancaman komunisme dalam bentuk gerakan bersenjata sudah tidak wujud tetapi masyarakat perlu berwaspada terhadap ideologi asing yang boleh mempengaruhi pemikiran generasi baharu.

Katanya, komunalisme pula masih menjadi cabaran kerana masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, selain mudah terheret dengan sentimen perkauman sekiranya tidak dikawal.

“Tun Razak menyebut communalism sebagai satu proses yang rumit kerana negara kepelbagaian kaum dan rakyat mudah terheret dengan sentimen kaum yang kuat.

“Beliau (Tun Razak) sering menasihatkan termasuk kami kepemimpinan mahasiswa Melayu, tentang ancaman kefahaman yang terpesong daripada semangat kebangsaan Melayu yang boleh jatuh kepada faham kaum yang sempit,” katanya.

Anwar berkata, pesanan Tun Abdul Razak mengenai rasuah juga perlu terus diingati generasi muda, khususnya apabila mereka mula memegang jawatan dan diberikan amanah.

Beliau turut mengenang ucapan Tun Abdul Razak yang pernah mengingatkan golongan muda bahawa pendirian menolak rasuah boleh menjadi longgar apabila seseorang memperoleh kuasa.

“Kamu semua sekarang anak muda menentang rasuah, menolak dengan keras sebab tidak ada orang hendak rasuah kamu. Tetapi sebaik jadi nanti, masa itu dah mula goyah,” katanya.

Menurutnya, generasi muda perlu memahami pemikiran Tun Abdul Razak supaya mereka tidak sekadar mengenang negarawan itu sebagai sebahagian daripada sejarah negara.

Ujarnya, usaha mengenang jasa Tun Abdul Razak juga perlu menghidupkan semula gagasan dan semangat perjuangan Allahyarham untuk dijadikan panduan generasi masa kini.

“Anak-anak muda terutamanya harus melihat hal ini. Bagaimana boleh kita mengangkat martabat bangsa dan negara ini dengan menghadam dan menghayati beberapa pesanan Tun Abdul Razak.

“Bukan sekadar nostalgia menyingkap pengalaman lalu tetapi menyemarakkan obor semangat perjuangan lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×