KUALA LUMPUR: Pertemuan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) malam ini berakhir tanpa sebarang maklumat rasmi mengenai hasil perbincangan berkenaan.
Pertemuan yang difahamkan melibatkan ADUN-ADUN bermula kira-kira pukul 8.15 malam sebelum berakhir sekitar pukul 11 malam.
Bagaimanapun, pihak media yang ‘berkampung’ di lobi menara bagi mendapatkan perkembangan terkini tidak mendapat sebarang reaksi daripada mereka yang menghadiri pertemuan tersebut.
Difahamkan, sebahagian besar mereka meninggalkan lokasi melalui pintu lain tanpa bertemu petugas media yang menunggu sejak awal malam.
Mesyuarat khas yang bermula pada 8 malam itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu bertujuan bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut berkenaan.
Antara yang hadir ialah Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga ADUN Juasseh Datuk Ismail Lasim serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Turut hadir ADUN Chembong Datuk Zaifulbahri Idris, ADUN Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli dan ADUN Sikamat Datuk Razali Abu Samah.
Bagaimanapun difahamkan UMNO akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung hasil pertemuan malam ini.
Pertemuan itu menjadi perhatian susulan perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan.-UTUSAN











