‘Adik sempat pegang tangan mak’

‘Adik sempat pegang tangan mak’

ALLAHYARHAM Raja Ahmad Raja Ali (kiri) dan Allahyarham Zaitun Mohamed (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mangsa yang terselamat dalam kejadian kebakaran yang mengorbankan sepasang warga emas termasuk seorang cucunya di Taman Desa Tambun di sini pagi semalam tidak dapat melupakan saat adiknya memegang tangan arwah ibunya.

Menurut Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, kejadian itu berlaku begitu pantas dan tidak banyak yang mereka boleh lakukan.

Jelasnya, semasa kejadian berlaku, dia tidur di beranda luar rumah sementara adiknya berada di rumah sebelah.

“Nasib baik kebetulan adik saya pun ada dekat rumah jiran. Dia bersama jiran tarik saluran paip air serta segera menelefon bomba. Semua berada di tingkat atas rumah.

“Adik saya cuba masuk ikut pintu depan tetapi tidak boleh lalu panjat ke balkoni belakang cuma dapat capai tangan emak tetapi tidak boleh keluarkan ke­rana balkoni dikelilingi pagar yang berkunci,” katanya di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun di sini semalam.

Mangsa yang maut ialah Raja Ahmad Raja Ali, 70, dan isteri, Zaitun Mohamed, 64, serta cucu mereka, Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18.

Raja Ikhwan Hadi yang merupakan anak pasangan warga emas itu bagaimanapun terselamat selepas tidur di ruang parkir di luar rumah ketika kejadian.

Kata Raja Ikhwan Hadi, kerja­nya dalam bidang katering memerlukannya bekerja sehingga lewat malam.

“Sebelum tidur, lebih kurang pukul 11 malam semalam, arwah emak sempat berjumpa dengan saya di beranda luar rumah untuk menutup lampu.

“Dia (arwah emak) macam rasa sesuatu, tidak sedap hati tetapi saya kata jangan cakap macam itu tidak baik selain tidak ada apa-apa akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, ayah kepada Allahyarham Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, iaitu Hilal Zamri, 37, berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian itu terjadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×