TEMERLOH: Daerah ini bakal digegarkan dengan kehadiran 500 buah bot dari seluruh pelosok Sungai Pahang yang ‘berkampung’ sempena Festival Bot Temerloh 2026, selama tiga hari bermula 23 Oktober ini.
Penganjuran julung kali di Esplanade Temerloh dan Dataran Saiful Gulai Masam Ikan Patin itu disasarkan menarik kehadiran lebih 40,000 pengunjung dari dalam dan luar negara, sekali gus menjadikan Bandar Ikan Patin ini sebagai pusat tumpuan baharu sukan air tanah air.
Dianjurkan Formula Future Powerboat Club Pahang, festival itu tidak sekadar menyajikan aksi suspen perlumbaan bot, malah menyatukan elemen pelancongan, kebudayaan, rekreasi dan merancakkan ekonomi setempat.
Pengerusi Formula Future Powerboat Club, Muhammad Khalil Abdul Wahab berkata, daripada keseluruhan bot yang dihimpunkan, sebanyak 150 buah bot berentap dalam lima kategori pertandingan.
“Pertandingan kelajuan di air itu bakal menyaksikan saingan sengit bagi segmen Bot Lumba Khas yang membabitkan 15 bot bagi kategori NT Class 40 hingga 60 kuasa kuda (HP) dan 15 bot Topper Class 15 hingga 18HP.
“Dominasi terbesar pula bakal disaksikan menerusi segmen Kategori Nelayan yang menghimpunkan 120 buah bot, terbahagi secara saksama kepada 40 bot Nelayan Open 15 hingga 18HP, 40 bot Nelayan Open 30HP serta 40 bot Nelayan Standard 15 atau 18HP,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Muhammad Khalil berkata, penganjuran acara berprestij itu bermatlamat memperkasa Sungai Pahang sebagai destinasi utama sukan air dan pelancongan sungai berimpak tinggi.
“Festival ini platform terbaik untuk meletakkan Temerloh di peta pelancongan sukan air negara, selain memberi limpahan rezeki secara langsung kepada peniaga tempatan, pengusaha inap desa dan penggiat industri pelancongan.
“Pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan kehebatan perarakan dan perlumbaan 500 bot, malah berpeluang menikmati keunikan gastronomi popular tempatan seperti gulai masam ikan patin,” katanya.
Beliau berkata, kemuncak kemeriahan festival bakal diserlahkan menerusi Perarakan Bot Jalur Gemilang pada 25 Oktober, yang menyasarkan penyertaan 338 buah bot nelayan darat.
“Acara gilang-gemilang itu dirancang secara khusus bagi menghimpunkan komuniti sungai sebagai simbolik menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan, melestarikan identiti masyarakat sungai serta tanda penghargaan terhadap Sungai Pahang,” katanya. –UTUSAN











