2,000 Pemuda Parti Bangsa Malaysia keluar parti sertai Wawasan 

2,000 Pemuda Parti Bangsa Malaysia keluar parti sertai Wawasan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Krisis keyakinan terhadap kepimpinan Parti Bangsa Malaysia (PBM) memuncak apabila kira-kira 2,000 anggota sayap Pemuda parti itu membubarkan struktur mereka dan menyatakan sokongan untuk menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Bekas Ketua Pemuda Nasional PBM, Hanis Asmui berkata, keputusan membubarkan jawatankuasa Pemuda di peringkat pusat, negeri dan bahagian dibuat secara sebulat suara serta tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta sebagai Ketua Pemuda Nasional PBM, Timbalan Pengerusi PBM Johor dan Ketua PBM Bahagian Muar.

Menurut Hanis, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira keadaan keyakinan anggota terhadap kepimpinan tertinggi parti yang didakwanya semakin terhakis dan sukar dipulihkan.

“Kemasukan Ronnie Liu antara faktor pencetus, malah boleh dikatakan sebagai sebagai antara punca utama (pembubaran).

“Kami menegaskan bahawa hilangnga kepercayaan ini berpunca daripada kenyataan-kenyataan dangkal dan mengelirukan daripada pimpinan atasan yang sering menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Awal bulan lalu, bekas pemimpin kanan DAP, Ronnie Liu mengumumkan keputusannya untuk menyertai PBM selepas lebih tiga tahun tidak berparti. 

Hanis mendakwa beberapa kenyataan yang dibuat selepas penyertaan Ronnie Liu ke dalam PBM, khususnya berkaitan isu agama dan 3R (raja, agama dan kaum), menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan anggota.

Beliau berkata, keadaan itu menjadi lebih serius kerana kenyataan-kenyataan Ronnie yang dibuat selepas menyertai PBM didakwa memberi kesan buruk kepada parti.

“Sebagai anggota parti dan ketua penerangan, sepatutnya beliau lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan. Benda itu akhirnya menjadi backfire kepada parti,” katanya.

Hanis berkata keputusan untuk keluar daripada PBM bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dibincangkan dalam kalangan anggota selama kira-kira dua bulan.

Katanya, sebelum kemasukan Ronnie, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan anggota mengenai penerimaan beliau ke dalam PBM, namun keputusan akhir adalah hak kepimpinan parti.

“Sebahagian menerima dan sebahagian menolak. Tetapi semuanya bergantung kepada keputusan presiden untuk menerima sesiapa sahaja yang berminat menyertai parti.

“Namun apabila sudah berada dalam parti, setiap pemimpin perlu mengambil kira kesan kenyataan mereka terhadap keseluruhan parti,” katanya.

Mengulas langkah seterusnya, Hanis berkata, perkembangan sama dijangka berlaku dalam kalangan sayap wanita PBM yang juga akan menyertai Wawasan. 

Menurut Hanis, keputusan memilih Wawasan dibuat setelah melihat hala tuju parti pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin itu mempunyai persamaan dengan agenda yang sebelum ini diperjuangkan PBM.

“Kami melihat Wawasan merupakan agenda besar dalam penstabilan politik negara serta satu jambatan untuk menyatukan parti politik Melayu seperti Pas dan UMNO serta merentasi jurang perbezaan kaum di Malaysia.

“Kami juga percaya dengan kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN