Rakyat Johor tolak politik angkuh PH - Wawasan

Rakyat Johor tolak politik angkuh PH – Wawasan

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai isyarat jelas bahawa rakyat menolak pendekatan politik yang angkuh dan terlalu tertumpu kepada serangan terhadap lawan.

Ketua Penerangannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sepanjang kempen PRN Johor, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih banyak menumpukan tenaga menyerang lawan politik.

Menurutnya, pendekatan sedemikian telah dibuat berbanding menjawab persoalan sebenar yang sedang dihadapi rakyat.

“PRN Johor kali ini memperlihatkan satu hakikat yang sukar dinafikan. 

“Sepanjang kempen, kepimpinan PH, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih banyak menumpukan tenaga kepada menyerang lawan politik dengan cara-gaya yang cukup angkuh.

“Ia berbanding menjawab persoalan sebenar yang sedang dihadapi rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, kempen PH sepatutnya menawarkan penyelesaian terhadap tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan, ekonomi negeri dan masa depan anak muda.

Namun, katanya, kempen gabungan itu lebih dipenuhi dengan label, persepsi dan naratif yang bertujuan menakut-nakutkan pengundi.

“Retorik mengenai ‘gelombang hijau’ diulang tanpa henti seolah-olah ia boleh menggantikan hujah dan dasar,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Johor akhirnya memberikan jawapan mereka menerusi peti undi.

Katanya, pengundi tidak menolak mana-mana pihak kerana slogan semata-mata, tetapi jelas tidak menerima pendekatan politik yang memandang rendah kebijaksanaan mereka.

“Kemerosotan sokongan PH termasuk di beberapa kawasan yang sebelum ini dianggap kubu kuat mereka bukan sekadar perubahan angka pilihan raya.

“Keputusan itu sebagai peringatan bahawa rakyat sentiasa menilai sikap dan pendekatan sesebuah kerajaan.

“Apabila kepimpinan dilihat semakin jauh daripada denyut nadi rakyat dan lebih ghairah mengurus persepsi daripada menyelesaikan masalah, keyakinan rakyat akan terus terhakis sedikit demi sedikit,” katanya.

Sementara itu, Wawasan mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dan keputusan itu harus dihormati sebagai manifestasi kehendak rakyat Johor yang membuat pertimbangan secara matang dan bebas.

Katanya, Wawasan akan terus membantu PN menambah baik pendekatan dan strategi memenangi hati rakyat dalam siri pilihan raya akan datang.

“Wawasan akan terus membantu PN dalam menambah baik pendekatan dan strategi memenangi hati rakyat dalam siri-siri pilihan raya akan datang, khususnya di PRN Negeri Sembilan yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN