KUALA LUMPUR: Polis melaporkan peningkatan ketara dalam tangkapan berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak apabila kira-kira 2.1 juta fail yang mengandungi bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi dikesan polis sejak 2024.
Keseluruhan kedua-dua operasi itu menghasilkan 170 tangkapan dan 369 rampasan barang kes selain penemuan 2,123,887 fail CSAM serta pornografi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1.0 pada 2024 menghasilkan 13 tangkapan sebelum meningkat kepada 31 menerusi Op Pedo 2.0 pada tahun lalu.
“Setiap kali operasi, angka ini semakin besar dan bertambah. Jadi, kita perlu satu tindakan bersepadu yang lebih agresif, bukan sahaja dari sudut tindakan punitif tetapi juga kesedaran,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Kata kumar, jumlah tangkapan menerusi Op Pedo 3.0 yang dilaksanakan bermula 14 hingga 16 September lalu meningkat kepada 53 individu.
Jelasnya, perbandingan tiga siri Op Pedo turut menunjukkan peningkatan jumlah kertas siasatan bermula 13 kes pada 2024 kepada 29 kes tahun lalu dan 52 kes tahun ini.
“Jumlah barang kes dirampas pula meningkat daripada 37 dalam Op Pedo 1.0 kepada 82 menerusi Op Pedo 2.0 dan 95 dalam operasi terbaharu,” jelasnya.
Katanya, Op Pedo 1.0 yang dilaksanakan pada 23 Disember 2024 hanya membabitkan enam negeri sebelum liputannya diperluaskan kepada semua 14 kontinjen menerusi Op Pedo 2.0 dan 3.0.
Secara kumulatif, katanya, tiga siri Op Pedo menghasilkan 97 tangkapan, 94 kertas siasatan dan rampasan 214 barang kes.
“Sebanyak 1,573,193 fail CSAM dan pornografi turut ditemui menerusi tiga siri operasi itu, masing-masing 40,000 fail dalam Op Pedo 1.0, 880,000 pada Op Pedo 2.0 dan 653,193 menerusi Op Pedo 3.0.
“Selain Op Pedo, PDRM turut melaksanakan Operation Cyber Guardian dengan operasi pertama pada 20 Mac 2025 menghasilkan empat tangkapan, rampasan 29 barang kes serta penemuan 52,000 fail,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, SKMM merekodkan 12,529 permohonan berkaitan kandungan pornografi dan CSAM di media sosial serta perkhidmatan mesej Internet bagi tempoh 1 Januari hingga 21 September lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 11,665 kandungan diturunkan, manakala 1,031 laman ditutup oleh SKMM dalam tempoh sama.
Kumar berkata, peningkatan angka berkenaan memerlukan pendekatan berterusan yang bukan hanya tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan.
“PDRM dan SKMM masing-masing mempunyai pasukan khas bagi memantau kandungan CSAM dan pornografi namun usaha membendung kegiatan itu memerlukan penglibatan agensi lain, badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa serta masyarakat.
“Walaupun kita bertungkus-lumus memantau dan mengambil tindakan, kejayaan tidak akan tercapai sekiranya tiada penglibatan daripada agensi lain,” katanya.
“Setiap kali operasi, angka ini semakin besar dan bertambah. Jadi, kita perlu satu tindakan bersepadu yang lebih agresif, bukan sahaja dari sudut tindakan punitif tetapi juga kesedaran,” katanya di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan media sosial oleh kanak-kanak juga perlu dipertingkatkan berikutan kemahiran golongan itu menggunakan teknologi dan platform digital. – UTUSAN











