Siput gayam lubuk rezeki suami isteri di Pulau Tuba

Siput gayam lubuk rezeki suami isteri di Pulau Tuba

ROBIHA Hamid dibantu anaknya mengasingkan siput gayam yang diperolehi hasil menyelam di laut di Pulau Tuba, Langkawi. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Demi menambah pendapatan keluarga, sepasang suami isteri turun ke kawasan perairan Pulau Tuba, di sini untuk mencari siput gayam yang kemudian dijual kepada penduduk setempat dan Langkawi.

Rahman Ahmad, 49, dan Rubiha Abd Hamid, 48, yang turut mempunyai kedai makan memberitahu, aktiviti itu bukan sekadar mengisi masa lapang sebaliknya menampung keperluan harian kerana permintaan yang tinggi untuk siput tersebut.

“Dahulu siput ini cuma sekitar RM3 sekilogram (kg) tetapi sekarang cecah RM5. Banyak yang menggemari siput gayam kerana isinya manis daripada siput biasa, jadi permintaan sangat menggalakkan termasuk di Langkawi,” katanya ketika ditemui di Pulau Tuba, kelmarin.

Lebih menarik menurut Rahman, siput gayam itu hanya diperoleh di dasar laut yang berkedalaman kira-kira 2.5 meter dengan cara menyelam di teluk sekitar Pulau Tuba.

“Saya perlu menyelam sekitar seminit dan menyauk siput yang berada di dasar laut. Sebab itu kami ke laut hanya ketika air laut surut kalau air pasang arus akan jadi deras dan sukar untuk menyelam.

“Setiap kali keluar untuk mencari siput ini saya perlu melakukan antara 40 hingga 100 selaman bagi memperoleh kira-kira 100kg siput.

“Saya menerima tempahan yang banyak dari penduduk Langkawi dan selebih saya jual di kedai makan saya di Warung Pokok Asam,” katanya.

Rahman memberitahu, hasil kutipan tidak menentu dan bergantung kepada musim serta lokasi pencarian.

“Musim timur paling banyak siput gayam di dasar laut. Dulu memang banyak siput gayam tetapi sekarang semakin berkurangan,” katanya.

Sementara itu menurut Rubiha, pelanggannya amat menggemari masakan siput gayam yang enak dibuat kari mahupun direbus sahaja.

“Selalu saya akan ikut suami ke laut untuk cari siput ini bagi memudahkan kerjanya kerana dia perlu menyelam banyak kali. Selain itu hasil tangkapan perlu diasingkan Isi siput gayam lebih manis daripada siput lain seperti lala,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×