Sindiket seleweng minyak masak bersubsidi jadi minyak terpakai tumpas

Sindiket seleweng minyak masak bersubsidi jadi minyak terpakai tumpas

S. JEGAN (duduk, kiri) menunjukkan sebahagian daripada barang yang digunakan untuk memproses minyak masak bersubsidi kepada minyak terpakai ketika sidang akhbar di Stor Ekshibit KPDN di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang diproses menjadi minyak terpakai sebelum dijual semula pada harga lebih tinggi susulan beberapa serbuan, semalam.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, serbuan menerusi Op Tiris 4.0 itu dibuat selepas pihaknya melakukan risikan selama kira-kira dua minggu ke atas tiga buah premis berasingan yang dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan di sekitar Pulau Pinang.

Beliau berkata, susulan serbuan itu juga, seorang lelaki berusia 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara keseluruhannya, sebanyak 3,150 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi berjaya dirampas susulan pemeriksaan yang dilakukan di ketiga-tiga premis termasuk 850 kg minyak masak yang dipercayai disimpan sebagai lebihan stok.

“Selain itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara turut disita bersama beberapa barangan lain seperti plastik minyak masak peket yang kosong, sebuah tangki jenis IBC kosong berkapasiti 1,000 liter dan lain-lain dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM95,000,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jegan berkata, berdasarkan siasatan, minyak terpakai yang diproses itu berkemungkinan dijual semula pada harga RM3.50 sekilogram iaitu lebih tinggi daripada harga minyak masak peket itu sendiri iaitu RM2.50 sekilogram.

“Dalam kes ini, lebihan minyak masak bersubsidi itu dipercayai memang sengaja disimpan untuk diproses menjadi minyak terpakai dan bukannya untuk dibekalkan kepada orang awam.

“Modus operandi yang digunakan ialah, suspek akan membeli minyak masak peket itu sebelum memotong paket berkenaan dan mencampurkannya dengan bahan pewarna untuk dijadikan produk baharu iaitu minyak terpakai,” ujar beliau.

Tambah Jegan, pihaknya memandang serius sebarang usaha yang dilakukan untuk menyeleweng barang kawalan bersubsidi kerana perbuatan sedemikian boleh menjejaskan bekalan dan hak pengguna yang sepatutnya menikmati manfaat subsidi yang disediakan oleh kerajaan.

“Dalam hal ini, KPDN Pulau Pinang akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja melanggar undang-undang yang telah dikuatkuasakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×