BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah membuka satu kertas siasatan terhadap sebuah stesen minyak di Juru kerana enggan menjual barang kawalan iaitu diesel.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, tindakan itu diambil susulan aduan yang diterima daripada seorang pemandu lori yang mendakwa stesen minyak berkenaan enggan membenarkan pemandu terbabit mengisi minyak dengan alasan sudah kehabisan bekalan bahan api itu.
Katanya, sepasukan lima pegawai penguatkuasa kemudian digerakkan ke stesen tersebut kira-kira pukul 8 malam tadi untuk memeriksa stesen minyak berkenaan sebaik sahaja menerima aduan mengenai kes terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati, stok diesel sebenarnya masih ada di stesen berkenaan. Namun, selain daripada pelanggan tetap, stesen minyak itu hanya mengehadkan pembelian sebanyak 20 liter sahaja kepada pelanggan lain.
“Berikutan itu juga, suatu tindakan kes telah diambil terhadap stesen minyak tersebut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu keengganan menjual barang kawalan,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Jegan turut menggesa orang awam untuk terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan dalam membantu membanteras sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang termasuk penyelewengan diesel.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seorang pemandu lori mengamuk dan memarahi beberapa pekerja stesen minyak kerana memberi alasan sudah kehabisan bekalan diesel ketika dia mahu mengisi minyak.
Dalam video yang berdurasi lebih satu minit itu, pemandu terbabit turut mengugut akan membuat laporan kepada KPDN atas alasan stesen minyak berkenaan didakwa bersikap ‘pilih bulu’ kerana hanya menjual diesel kepada pelanggan tertentu sahaja.-UTUSAN










