Tiada kesan air, pencemaran dalam tangki RON95 - KPDN Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Tiada kesan air, pencemaran dalam tangki RON95 – KPDN Pulau Pinang

BEBERAPA anggota penguatkuasa KPDN turun padang untuk memeriksa sebuah stesen minyak di Batu Kawan, Pulau Pinang selepas menerima aduan yang mendakwa ada kenderaan mengalami masalah selepas mengisi petrol RON95 di situ.-GAMBAR/KPDN PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang gagal mengesan sebarang kehadiran air atau tanda berlakunya pencemaran dalam tangki simpanan RON95 di sebuah stesen minyak di sini.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, ia susulan pemeriksaan lanjut serta penelitian yang dibuat sebagai respons terhadap satu hantaran tular di media sosial mendakwa ada kenderaan bermasalah selepas mengisi petrol RON95 di stesen minyak terbabit.

Menurut Jegan, KPDN yang dibantu oleh pengusaha stesen minyak terbabit serta wakil syarikat minyak yang berkenaan telah membuat semakan terhadap rekod Automatic Tank Gauge (ATG) bagi tangki RON95 secara menyeluruh, meliputi bacaan semasa pemeriksaan serta rekod bagi tempoh tiga hari terdahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil semakan rekod ATG tersebut mendapati, tiada bacaan yang menunjukkan kehadiran air dalam tangki berkenaan sepanjang tempoh ia disemak. Pemeriksaan fizikal di kawasan pam dan bahagian ‘tank sump’ turut dilaksanakan dan tidak menemukan sebarang pengumpulan air selain pemeluwapan biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, pemeriksaan secara manual melalui proses ‘dipping’ atau mencelup di kedua-dua tangki RON95 turut dilaksanakan dengan menggunakan Water Finding Paste (WFP) yang disapukan pada kayu pengukur sebelum dimasukkan ke dalam tangki bagi mengesan kehadiran air.

“Sekiranya terdapat air dalam tangki, maka, sapuan WFP tersebut akan menunjukkan perubahan warna sebagai petunjuk kehadiran air. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati, tiada perubahan warna dikesan dan tiada sebarang tanda kehadiran air.

“Pada masa yang sama, pemeriksaan secara visual juga telah dibuat terhadap bahan api yang dikeluarkan daripada semua muncung pam dan mendapati bahawa bahan api yang dikeluarkan kelihatan jernih serta tiada pencemaran dapat dikesan secara pemerhatian mata kasar,” ujar beliau.

Sementara itu, Jegan berkata, pihaknya bersama wakil syarikat minyak serta pengusaha stesen minyak akan terus bekerjasama dalam melaksanakan tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan isu seperti itu ditangani secara menyeluruh dengan meletakkan kepentingan dan keselamatan pengguna sebagai keutamaan.

Justeru, beliau berkata, sekiranya terdapat maklumat atau aduan daripada pengguna yang mempunyai kaitan dengan isu tersebut, maka, KPDN bersedia untuk mendapatkan maklumat lanjut dengan menjalankan tindakan pemeriksaan atau siasatan mengikut bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Dalam hal ini, KPDN Pulau Pinang juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kesimpulan awal berdasarkan maklumat yang tular di media sosial dan menyalurkan aduan secara rasmi kepada KPDN sekiranya mempunyai maklumat,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN