TAWAU: Kenalan rapat Nurima Juli, 36, mendakwa wanita itu pernah memberitahunya bahawa dia sudah mengaku membunuh bekas suaminya kepada pegawai penyiasat Bukit Aman, tiga tahun lalu.
Chin Nyuk Wah, 52, yang merupakan saksi kelima berkata, Nurima bagaimanapun tidak pernah menyebut nama mana-mana plaintif, terdiri daripada bekas pegawai dan anggota perisikan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), atau individu lain sebagai terbabit dalam pembunuhan berkenaan.
Ketika menjawab soalan peguam plaintif, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon berhubung sebab Nurima meminta pertolongannya pada malam kejadian, Chin berkata wanita itu adalah rakan baiknya dan mereka sering saling membantu jika diperlukan.
“Nurima menghubungi saya selepas kejadian dan meminta supaya dia diambil di kawasan Sabindo, Tawau, berhadapan Bank Simpanan Nasional (BSN), sebelum dihantar kembali ke Lahad Datu.
“Ketika mengambil Nurima, pada awalnya saya tidak tahu dia baru sahaja terbabit dalam kejadian pembunuhan bekas suaminya itu,” katanya.
Ditanya bagaimana pihak polis kemudian dapat mengesan dan menghubunginya berhubung kes berkenaan, Chin mendakwa Nurima ada menghubunginya menerusi Messenger ketika wanita itu berada di bawah perlindungan saksi di Kuala Lumpur.
Menurutnya, Nurima memberitahu bahawa dia sudah mengaku kepada pegawai penyiasat Bukit Aman bahawa dialah yang membunuh bekas suaminya.
“Dia pesan kepada saya bahawa pihak polis akan hubungi saya dan dia pesan lagi supaya saya berterus terang kepada pihak polis berkaitan apa yang dia beritahu saya pada malam kejadian.
“Namun, saya jadi hairan kerana dia yang sudah mengaku bunuh, tapi dia pula jadi saksi. Dia juga tidak ada sebut nama siapa-siapa. Dia mengaku dia yang bunuh, yang tikam,” jelasnya.
Ditanya berhubung tindakannya membelikan tisu basah dan minuman berkarbonat kepada Nurima pada malam kejadian, Chin berkata barangan itu diberikan bagi membantu membersihkan bau atau kotoran pada pakaian wanita berkenaan.
Katanya, Nurima ketika itu ada memberitahu bahawa dia membunuh seseorang, namun beliau tidak mempercayainya kerana mereka sering bergurau.
“Nurima turut bertanya jika saya ada menghidu bau darah, tapi saya cakap tidak ada sebab kereta saya memang bau ikan (hanyir),” katanya.
Chin yang juga peniaga ikan basah di Pasar Besar Tawau berkata demikian ketika memberi keterangan bagi pihak plaintif dalam perbicaraan saman sivil RM190 juta yang difailkan bekas pegawai kanan dan anggota perisikan ESSCOM terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 11 defendan lain di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Ketika disoal balas peguam defendan, Zetty Zurina Kamarudin, Chin bersetuju bahawa beliau pada awalnya tidak mempercayai sepenuhnya cerita Nurima pada malam kejadian.
Beliau turut mengakui tidak membuat laporan polis selepas membaca hantaran Facebook pada 14 Januari 2023 mengenai penemuan mayat seorang pemandu e-hailing di Batu 5, Jalan Apas kerana ketika itu masih meragui cerita Nurima yang disampaikan kepadanya pada malam sebelumnya.
Chin juga mengakui memadam segala perkara berkaitan Nurima daripada telefon bimbitnya kerana bimbang dirinya dikaitkan dengan kes jenayah berkenaan.
Beliau turut bersetuju bahawa keterangannya mengenai perbualan menerusi Messenger bersama Nurima hanya berdasarkan ingatan kerana tiada bukti tangkap layar atau dokumen bagi menyokong kandungan perbualan itu selepas telefon bimbitnya dirampas pihak polis.
Bagaimanapun, Chin menolak cadangan bahawa Nurima pernah mengarahkannya berbohong kepada pihak polis atau mereka-reka naratif palsu untuk diberikan kepada pegawai penyiasat.
“Berulang kali saya tanya dia sebab saya tidak percaya dia boleh bunuh orang.
“Ini juga pertama kali saya memberi keterangan di mahkamah. Pada hari saya dipanggil menjadi saksi di mahkamah, Nurima sudah pun mengaku bahawa dia yang membunuh bekas suaminya,” jelasnya.
Setakat ini, lima daripada keseluruhan 13 saksi sudah selesai memberi keterangan.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menetapkan perbicaraan bersambung pada 21 hingga 24 September depan. – UTUSAN










