Paras air Empangan Muda susut, jejas nelayan Tasik Gubir

Paras air Empangan Muda susut, jejas nelayan Tasik Gubir

NELAYAN darat di Tasik Gubir terjejas pendapatan mereka ekoran cuaca panas yang menyebabkan air takungan untuk Empangan Muda berkurang di Sik. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Paras air di Tasik Gubir yang menjadi sumber air bagi Empangan Muda, di sini mengalami penyusutan ketara ekoran cuaca panas dan musim kemarau ketika ini.

Tinjauan mendapati, tasik yang sepatutnya digenangi air semakin menampakkan dasarnya malah jarak asal tebing yang semakin meluas sehingga bot-bot milik nelayan semakin menginjak ke tengah.

Keadaan itu telah menyebabkan pendapatan golongan nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada ikan air tawar terjejas teruk apabila hasil tangkapan didakwa merosot lebih 80 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Nelayan darat, Mad Yusop Mat Ali, 41, berkata, hasil tangkapan hariannya kini merosot daripada 30 kilogram (kg) sehari kepada hanya kira-kira lima kg.

“Air tasik terlalu panas menyebabkan ikan tidak banyak bergerak dan hanya duduk setempat, kalau hendak dibandingkan dulu saya pernah dapat sehingga RM200 sehari, tetapi sekarang nak dapat RM100 pun susah.

“Pukat pula hampir setiap hari rosak sebab banyak kayu dan air semakin cetek. Kalau tersangkut pada tunggul kayu misalnya saya terpaksa potong dan buat pukat baru yang boleh menelan kos RM180,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mad Yusop berkata, kos petrol mencecah antara RM15 hingga RM30 sehari, menyebabkan ada kalanya hasil tangkapan tidak mampu menampung kos operasi.

“Saya pernah balik tangan kosong. Kalau ikan dapat sedikit, duit isi minyak pun kadang-kadang tak lepas. Sebab itu ramai nelayan memilih untuk tidak turun.Kalau air banyak, senang hendak tahan pukat dan ikan pun lebih mudah dicari,” katanya.

Bagi Husin Awang Kechil, 84, keadaan itu disifatkan paling teruk sepanjang lebih 30 tahun dia mencari rezeki sebagai nelayan di tasik berkenaan.

HUSSIN AWANG KECHIL

“Pendapatan memang teruk. Hari ini dapat 2kg sahaja ikan lampam yang dijual pada harga RM6 sekilogram, jadi saya dapat RM12 saja. Ada hari balik tangan kosong dan saya pernah dapat RM1 saja,” ujarnya.

Katanya, air mula menyusut sejak awal tahun dan keadaan itu dijangka bertambah buruk sekiranya cuaca panas berterusan dalam tempoh ini.

“Dua tahun lepas ketika musim hujan atau selepas banjir paras air meningkat dan hasil ikan pun akan lebih banyak,” katanya.

Sementara itu, pekerja Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan Air Tawar Tasik Gubir, Mohd. Nazmi Yusop, 30, berkata, pihaknya mampu menerima antara 200 hingga 300kg ikan sehari sebelum ini.

“Musim ini memang teruk, hanya sekitar 50 hingga 60kg saja sehari. Dulu tong boleh penuh dengan ikan, sekarang banyak tong kosong dan hari ini pun hanya empat nelayan turun, sedangkan biasanya 12 orang atau lebih keluar mencari rezeki,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini