Generasi hari ini bertanggungjawab wariskan Malaysia lebih baik - Saarani

Generasi hari ini bertanggungjawab wariskan Malaysia lebih baik – Saarani

SAARANI (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang sempena Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Generasi hari ini mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Malaysia yang diwariskan kepada generasi akan datang lebih baik, aman dan makmur berbanding yang diterima daripada generasi terdahulu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, generasi terdahulu telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan memperjuangkan kemerdekaan dan mewariskan sebuah negara yang bebas kepada generasi hari ini.

Katanya, kini tiba giliran generasi hari ini pula melaksanakan amanah berkenaan dengan memastikan negara terus dipelihara, diperkukuh dan diwariskan dalam keadaan lebih baik kepada generasi akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tanggungjawab kita ialah memastikan apabila tiba masanya untuk menyerahkan negara ini kepada generasi selepas kita, kita menyerahkan sebuah Malaysia yang lebih baik daripada ketika kita menerimanya,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2026 yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya, di sini malam tadi.

Saarani berkata, dunia kini berubah dengan pantas menerusi kemajuan teknologi yang membawa peluang baharu, selain cabaran ekonomi dan pergerakan maklumat yang semakin pantas.

Katanya, dalam keadaan seperti itu, kekuatan negara bukan hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi atau kemodenan infrastrukturnya, sebaliknya turut bergantung kepada kekuatan masyarakat.

“Apakah kita masih mampu mempercayai antara satu sama lain? Apakah kita masih mampu berbeza pandangan tanpa bermusuhan? Apakah kita cukup matang untuk tidak membiarkan prasangka mengatasi pertimbangan.

“Kerana pada akhirnya, walaupun rakyat berbeza kaum, agama dan latar belakang, semua pihak sebenarnya berkongsi hasrat sama untuk melihat negara kekal aman, keluarga bahagia dan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia perlu kekal aman dengan rakyatnya terus bersatu padu, manakala ekonomi pula terus diperkukuh bagi menyediakan peluang yang lebih luas kepada seluruh rakyat.

Katanya, setiap anak juga perlu mempunyai keyakinan bahawa tanah air ini menyediakan ruang dan peluang untuk mereka membina masa depan yang lebih baik.

“Apabila kita bersama-sama melaungkan Merdeka, janganlah kita melaungkannya hanya untuk mengenang sebuah sejarah. Laungkanlah ia sebagai satu janji.

“Janji kepada mereka yang telah berjuang sebelum kita dan janji kepada generasi yang akan datang, bahawa negara yang diwariskan kepada kita ini akan kita jaga, kita perbaiki dan kita serahkan kepada mereka dalam keadaan yang lebih baik daripada ketika kita menerimanya,” katanya.

Terdahulu, Saarani bersama lebih 20,000 rakyat daripada pelbagai lapisan, menantikan detik 12 tengah malam untuk bersama-sama melaungkan laungan keramat ‘Merdeka’ sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Lagu kebangsaan Negaraku dan Jalur Gemilang kemudian dinyanyikan dengan penuh semangat sebelum malam penuh gemilang itu diakhiri dengan pertunjukan bunga api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini