SERAMAI 466 orang pelajar memperoleh kemudahan pembelajaran digital apabila menerima sumbangan Wakalah Zakat 2026 daripada Felcra Pahang Berhad berupa empat buah Smart TV di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Damak, Ahmad Faroq Fauzi berkata, sumbangan peralatan digital itu telah disempurnakan penyampaiannya oleh Pengurus Felcra Kawasan Jaya Putra, Jerantut, Mohd. Haffizee Hussin yang mewakili Pengarah Felcra Berhad Pahang kepada pentadbir sekolah tersebut.
“Sumbangan zakat dalam bentuk peralatan digital ini cukup signifikan bagi membantu memperkukuh kemudahan pembelajaran sekali gus menyokong usaha melahirkan generasi yang berilmu serta berdaya saing pada masa akan datang.
“Bagi AJK PIBG serta guru sangat mengalukan sumbangan atau bantuan pihak luar dalam usaha memantap aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi membentuk kemenjadian pelajar sekolah ini yang terdiri daripada pelajar Melayu, Cina, India dan Orang Asli,” katanya di SMK Damak, Jerantut
Yang turut hadir sempena majlis tersebut, iaitu Penghulu Mukim Ulu Cheka, Khairul Akhma Yussof.
Ujarnya, semoga kerjasama erat serta sokongan kalangan agensi kerajaan, institusi pendidikan, PIBG dan komuniti setempat secara langsung dapat menjana kemajuan SMK Damak dalam bidang akademik, koakademik, kokurikulum dan pembinaan insan.-UTUSAN










