BESUT: Bermula dengan menyediakan pakaian bertemakan Hari Kebangsaan untuk anak sendiri, seorang pengusaha butik pakaian mengambil pendekatan menghasilkan ‘busana merdeka’ berasaskan kombinasi warna Jalur Gemilang tanpa menjadikan bendera sebagai corak utama.
Norul Zila Yusoff, 44, berkata, idea menghasilkan pakaian berkenaan tercetus apabila dia mula berjinak-jinak membuka kios pakaian berasaskan batik ketika musim sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, sebelum melihat peluang menghasilkan pakaian bertemakan sambutan Hari Kebangsaan.
“Dulu kita biasanya melihat bendera dijadikan sebagai pakaian tetapi saya cuba kelainan dengan mengambil kombinasi warna Jalur Gemilang dan diterjemah dalam rekaan pakaian tanpa perlu mengubah suai Jalur Gemilang.
“Setiap rekaan ini menggabungkan elemen tradisional dan moden mengikut peredaran masa bagi memenuhi citarasa pelanggan,” katanya ketika ditemui di Kampung Limbongan di sini.
Menurut Norul Zila, meskipun baru beberapa bulan menceburi bidang itu, dia tidak menyangka permintaan terhadap busana itu mampu mencecah sehingga 100 pasang dalam tempoh sebulan.
Katanya, bukan sekadar busana malah dia menyediakan pelbagai aksesori lain untuk dipadankan dengan baju tersebut.
“Semua pakaian ini dijahit terus dari kedai saya dengan dibantu oleh dua tukang jahit. Sambutan terhadap busana ini sangat menggalakkan terutama daripada ibu bapa yang mahu menyediakan pakaian bertemakan Merdeka untuk anak-anak ke sekolah.
“Selain tempahan daripada pelanggan sekitar Besut, saya turut menerima permintaan dari luar dan ada pelanggan yang datang dengan rekaan sendiri untuk kita jahitkan. Harga pula bermula RM45 hingga RM75 termasuk aksesori manakala tempahan pakaian bermula RM50 bergantung kepada reka bentuk dan jenis pakaian,” katanya. – UTUSAN











