PETALING JAYA: Kesepaduan antara pihak penguat kuasa, institusi kewangan, penyedia platform komunikasi dan masyarakat perlu diperkukuh bagi membendung jenayah dalam talian yang semakin kompleks serta merentas sempadan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus aktif dan berusaha menangani jenayah siber yang sentiasa berubah seiring perkembangan teknologi.
Katanya, statistik jenayah dalam talian meningkat tahun ini dan setakat Julai sahaja sudah hampir 40,000 kes, melibatkan kerugian mencecah RM1 bilion.
Tegasnya, terdapat empat komponen penting yang diperlukan untuk menangani jenayah dalam talian secara berkesan iaitu penguatkuasaan, sistem kewangan, komunikasi dan masyarakat, sekali gus menandakan keperluan semua pihak untuk bersatu padu
“Kalau penguatkuasaan kuat, undang-undang bagus dan tangkapan banyak tetapi masyarakat lalai, sistem bank pula mudah dikompromi atau sekatan terlalu longgar serta penyedia platform menyediakan platform palsu yang tidak diturunkan, ia tetap tidak akan selesai.
“Kita kena integrasikan semua pihak. Benda itu memang ada, tetapi kita perlukan kelajuan yang lebih kerana penjenayah ini bukan penjenayah lokal, mereka antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rusdi berkata, penjenayah dalam talian sering menggunakan teknologi untuk mengeksploitasi mangsa dengan mempengaruhi perasaan dan pengetahuan mereka sehingga menyebabkan individu yang disasarkan berasa takut.
“Contohnya, mereka mengatakan kita melakukan kesalahan, akan dikenakan saman, wang akan dipindahkan atau dikenakan tindakan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA), ini menimbulkan rasa ketakutan.
“Ada pula yang menimbulkan rasa ketamakan. Contohnya pelaburan yang tidak wujud, labur RM30,000 dan dalam masa seminggu dapat pulangan besar serta dikatakan patuh Syariah. Pelbagai cara digunakan,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut membantu penjenayah memerangkap mangsa yang terpedaya dengan ayat-ayat yang sangat teratur dan meyakinkan.
“Dahulu mungkin mereka memerlukan seseorang yang pandai bercakap untuk meyakinkan mangsa. Sekarang melalui AI, suara boleh dirakam dan diubah, kadang-kadang mereka menggunakan wajah individu yang terkenal.
Sementara itu, Penyelidik Kanan Pusat Keselamatan Siber dan Perisikan Data, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr. Zubaile Abdullah berkata, keselamatan digital seharusnya dilihat sebagai benteng baharu pertahanan negara.

Menurutnya, ancaman siber bukan lagi sekadar serangan terhadap komputer atau rangkaian untuk mengganggu sistem tetapi kini ancaman itu semakin berorientasikan keuntungan dengan penjenayah menyasarkan wang, identiti, reputasi serta kepercayaan masyarakat.
“Keselamatan digital perlu dijadikan sebagai amalan harian, bukan hanya diberi perhatian selepas seseorang menjadi mangsa.
“Antara langkah asas ialah menggunakan kata laluan yang kukuh dan berbeza untuk akaun penting, mengaktifkan pengesahan berbilang faktor, memastikan sistem dan aplikasi sentiasa dikemas kini serta tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi atau kewangan,” katanya.
Zubaile berkata, pengguna perlu melakukan amalan mudah iaitu berhenti, fikir dan semak supaya mereka tidak terjerat dalam perangkap penjenayah siber.
Katanya, prinsip yang sama turut perlu digunakan dalam menghadapi kandungan AI dan deepfake.
“Sesuatu video mungkin kelihatan realistik dan suara mungkin kedengaran seperti individu dikenali, tetapi itu tidak semestinya membuktikan ia benar.
“Jika menjadi mangsa penipuan kewangan, tindakan pantas juga amat penting. Mangsa perlu segera menghubungi pihak berkuasa seperti polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha kerajaan dalam memperkukuhkan keselamatan rakyat di dunia siber merupakan satu perkembangan yang positif. – UTUSAN










