Polis perlu bergerak lebih pantas tangani jenayah siber - Ayob Khan 

Polis perlu bergerak lebih pantas tangani jenayah siber – Ayob Khan 

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Pitchay merasmikan Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia Tahun 2026 di Dewan Cerana, IPK Selangor, Shah Alam. FOTO/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bergerak lebih pantas daripada evolusi jenayah susulan cabaran keselamatan yang semakin kompleks dengan peningkatan jenayah siber, penipuan dalam talian, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan teknologi deepfake.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, PDRM perlu memanfaatkan pendigitalan, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.

Katanya, setiap agensi diperlukan memperkukuh budaya inovasi melalui penambahbaikan proses kerja, penggunaan teknologi dan pengukuhan tadbir urus selaras dengan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 serta Surat Pekeliling Pembaharuan Sektor Awam Bilangan 1 Tahun 2026 berkaitan Pembudayaan Inovasi Sektor Awam.

“PDRM bukan sekadar menyokong dasar kerajaan, malah beriltizam menjadi antara agensi peneraju dalam memperkasakan inovasi demi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya berbangga dengan inisiatif inovasi menerusi usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan ke arah memanfaatkan teknologi digital dan aplikasi berasaskan AI, selaras dengan hala tuju transformasi PDRM dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Inovasi PDRM Tahun 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, Kepolisan Pintar yang dibangunkan ini bukan sekadar penggunaan teknologi moden tetapi merangkumi budaya membuat keputusan berasaskan data, penyampaian perkhidmatan secara digital serta pengurusan operasi yang lebih responsif, tepat dan berintegriti.

Tambahnya, inovasi merupakan pemacu utama kepada transformasi PDRM ke arah sebuah organisasi yang moden, profesional dan berdaya tahan. 

“Setiap idea yang dihasilkan diterjemahkan kepada penyelesaian yang mampu meningkatkan keberkesanan operasi, memperkukuh penyampaian perkhidmatanserta memberi nilai tambah kepada organisasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Ayob Khan semoga hasil inovasi warga PDRM ini tidak terhenti di pentas pertandingan atau sekadar menerima pengiktirafan. 

“Sebaliknya, diperluaskan pelaksanaannya, dikongsi sebagai amalan terbaik dan dimanfaatkan oleh seluruh warga pasukan bagi meningkatkan kecekapan tugas harian,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN