SHAH ALAM: Sistem dron taktikal bagi meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan operasi ketika melaksanakan misi berisiko tinggi hasil pembangunan Pasukan VAT 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) muncul pemenang utama kategori ciptaan sempena Hari Inovasi PDRM 2026.
Sistem dikenali sebagai Very Able Troopers 69 (VAT 69) itu bertujuan mengurangkan tempoh penugasan, keperluan anggota serta kos operasi, selain menjadi keupayaan sokongan kepada sistem operasi konvensional.
Ketua Pasukan VAT 69, Deputi Superintenden Muhammad Ridhuan Basri berkata, inovasi berkenaan dibangunkan dalam tempoh enam bulan bermula Oktober 2025 sebelum siap sepenuhnya pada Mei tahun ini.
“Sistem ini juga dapat mengurangkan keperluan tenaga kerja dan kos operasi khususnya ketika menjalankan operasi di kawasan mencabar seperti Sabah.
“Kami berharap inovasi ini dapat diperkasakan ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya diterima pakai oleh pasukan keselamatan di Malaysia,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Inovasi PDRM Tahun 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah JKDNKA (Krisis dan Bencana), Datuk M.V. Sri Kumar.
Sementara itu Sri Kumar menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu kebanggaan bukan sahaja kepada VAT 69 malah kepada seluruh PDRM.
Beliau berkata, inovasi itu dibangunkan sendiri oleh anggota yang memahami keperluan operasi sebenar, sekaligus menghasilkan penyelesaian praktikal yang mampu meningkatkan keberkesanan operasi.
“Inovasi ini mencerminkan pemikiran progresif serta penyelesaian pintar yang diketengahkan oleh anggota 69 Komando.
“Peralatan ini berpotensi menjadi sebahagian daripada inventori operasi VAT 69 selepas melalui proses penambahbaikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan,” katanya. – UTUSAN










