KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan penjaga perlu mengawal emosi serta mempercayai pengakuan anak apabila mereka mendedahkan pengalaman menjadi mangsa penderaan seksual bagi mengelakkan kanak-kanak terus berdiam diri.
Pengasas P.S. The Children merangkap Ketua Eksekutif Play Therapy Malaysia, Madeleine Yong berkata, reaksi orang dewasa ketika menerima pendedahan itu amat penting kerana tindak balas yang tidak sesuai boleh menyebabkan kanak-kanak takut untuk berkongsi pengalaman mereka.
Menurutnya, ibu bapa perlu kekal tenang, mendengar dengan teliti serta mengelakkan tindakan mempersoalkan kebenaran cerita atau mengemukakan terlalu banyak soalan.
“Sekiranya kanak-kanak memberitahu bahawa seseorang telah menyentuh mereka, orang dewasa perlu kekal tenang, bersikap neutral dan mempercayai mereka.
“Jangan mempersoalkan sama ada perkara itu benar atau menunjukkan keraguan. Sebaliknya, dengar apa yang ingin disampaikan oleh kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Kepimpinan Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan 2026 di sini, semalam.
Beliau berkata, antara cabaran menangani penderaan seksual kanak-kanak ialah kecenderungan mangsa merahsiakan kejadian akibat ugutan dan manipulasi pelaku.
Pelaku sering menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa mereka akan dipersalahkan, tidak dipercayai atau menyebabkan individu tersayang menghadapi masalah sekiranya kejadian itu didedahkan.
Ugutan berkenaan menyebabkan kanak-kanak takut menceritakan penderaan yang dialami, termasuk kepada ibu bapa sendiri.
“Apabila kanak-kanak akhirnya memberanikan diri menceritakan kejadian itu, orang dewasa tidak sepatutnya memberikan reaksi yang membuatkan mereka kembali takut.
“Jika ibu menangis selepas mendengar pendedahan itu, kanak-kanak mungkin menganggap ugutan pelaku sebelum ini benar lalu memilih untuk terus berdiam diri,” katanya.
Mengulas kesan penderaan seksual, beliau berkata, impaknya terhadap kanak-kanak berbeza mengikut usia, tempoh penderaan, hubungan dengan pelaku dan keadaan kejadian.
Sehubungan itu, katanya, setiap kanak-kanak perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang individu dewasa yang dipercayai untuk berkongsi masalah serta mendapatkan sokongan.
Individu berkenaan tidak semestinya ibu bapa, sebaliknya boleh terdiri daripada guru, saudara-mara atau anggota komuniti yang bersedia mendengar tanpa menghakimi.
“Setiap kanak-kanak memerlukan orang dewasa yang selamat, iaitu seseorang yang sanggup mendengar, mempercayai dan berada bersama mereka tanpa memberikan penilaian yang keras,” katanya.
Menurut data Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 3,042 kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa atau penjaga direkodkan dari 2021 hingga November 2025.
Jumlah kes meningkat setiap tahun, daripada 418 kes pada 2021 kepada 511 kes pada 2022, 634 kes pada 2023, 667 kes pada 2024 dan 812 kes sehingga November 2025. – UTUSAN











