Ucapan di Jempol bukan pertikai kerakyatan bangsa lain - Sanusi

Ucapan di Jempol bukan pertikai kerakyatan bangsa lain – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu bukan bertujuan mempersoalkan kewarganegaraan atau hak rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebaliknya berkata, ucapannya di Jempol pada 23 Julai lalu merujuk kepada hubungan sejarah orang Melayu dengan Tanah Melayu, selain kebimbangannya terhadap kedudukan politik dan ekonomi masyarakat berkenaan.

“Catatan pada 1946, 1949 dan 1957 membuktikan gagasan Tanah Melayu sebagai wilayah sejarah serta satu-satunya tanah air orang Melayu yang sudah lama diakui dalam rekod rasmi Parlimen British.

“Ia bukan ciptaan saya mahupun suatu retorik politik yang baru muncul tahun ini. Tidak tepat untuk mengambil ucapan ini secara terasing dan memberikan gambaran saya sedang mempersoal kerakyatan masyarakat Cina dan India, sedangkan perkara dibahaskan ialah hubungan sejarah Melayu dengan Tanah Melayu serta kebimbangan saya mengenai kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilapor berkata, orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu, sedangkan bangsa lain mempunyai negara yang secara sejarah dikaitkan dengan asal-usul kaum masing-masing.

Kenyataan tersebut mencetuskan kontroversi apabila ada pihak mengaitkannya sebagai cubaan menafikan kerakyatan bukan Melayu di negara ini.

Dalam pada itu, Sanusi menjelaskan, pengiktirafan terhadap Tanah Melayu sebagai tanah air sejarah orang Melayu tidak bermaksud rakyat bukan Melayu tidak mempunyai hak terhadap Malaysia.

Beliau turut menafikan ucapannya sebagai seruan supaya masyarakat Cina atau India meninggalkan negara ini.

Katanya, dalam bahagian lain ceramah berkenaan, beliau turut menyatakan orang Melayu boleh hidup secara aman dan harmoni bersama masyarakat berbilang kaum.

“Saya menyebut peniaga Cina boleh membuka kedai dan berniaga dalam kampung Melayu tanpa diganggu, sambil menegaskan ‘Kita tak kacau orang’”.

“Oleh itu, ucapan saya perlu dibaca sebagai kebimbangan mengenai kedudukan politik dan ekonomi Melayu, bukan seruan rakyat Malaysia berketurunan Cina atau India meninggalkan negara ini,” katanya.

Sanusi turut mengulangi penegasan bahawa ucapannya itu selari pandangan tokoh antarabangsa seperti Oliver Stanley, Lord Killearn dan Lord Ogmore mengenai Tanah Melayu dan Malaya.

Katanya, semua ucapan itu membawa intipati sama iaitu Tanah Melayu ialah wilayah dengan hubungan sejarah, politik dan kebudayaan khusus dengan masyarakat Melayu.

Hubungan itu, katanya dilihat menerusi kewujudan negeri, bahasa, adat istiadat Melayu, Islam sebagai unsur utama sejarah negeri berkenaan, institusi Raja-raja Melayu serta penggunaan terma Persekutuan Tanah Melayu.

“Ucapan saya bukanlah gagasan luar biasa, baharu atau terpisah daripada sejarah. Ia pengulangan dalam bahasa politik semasa bagi pengakuan pernah dibuat secara terbuka dalam Parlimen British, sejak 1946,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN