PETALING JAYA: Sikap rakyat Malaysia membuang dan meninggal sampah merata-rata di tempat awam adalah perbuatan tidak bertamadun dan memalukan kerana ia menjejaskan
imej negara yang sering disanjung di seluruh dunia.
Lebih memalukan, perbuatan itu berlaku di lokasi yang menjadi simbol sejarah dan maruah negara, sekali gus menggambarkan masih wujud kelompok masyarakat yang
langsung tidak menghormati kemudahan awam.
Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sian berkata, kejadian itu membuktikan kesedaran sivik
rakyat Malaysia masih berada pada tahap rendah apabila masih ramai gagal menjadikan kebersihan sebagai tanggungjawab bersama.
Katanya, lebih mengecewakan sikap sedemikian dipertontonkan di hadapan pelancong asing, sekali gus menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang disanjung kerana bersih dan
berdisiplin.
“Meskipun program tayangan bola bertujuan menyatukan rakyat, tindakan melepaskan tanggungjawab menjaga kebersihan kepada pihak berkuasa tempatan
(PBT) dan pekerja pembersihan tidak boleh diterima.
“Rakyat perlu ada kesedaran yang tinggi tentang isu pembuangan sampah ini. Mereka sepatutnya membuang sampah di tong sampah yang telah disediakan
atau sekurang-kurangnya membawa sampah berkenaan untuk dibuang ke tong berhampiran.
“Isu pembuangan sampah sebenarnya adalah tanggungjawab diri sendiri. Sesiapa yang mempunyai sampah, dia perlu bertanggungjawab untuk memastikan
sisa tersebut dibuang ke tempat yang sepatutnya.
“Sikap rakyat Malaysia yang masih membuang sampah merata-rata bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malah memalukan imej negara apabila
mencerminkan tahap kesedaran sivik yang masih rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan tentang kesedaran sivik rakyat Malaysia terhadap kebersihan masih ditahap menyedihkan setelah keadaan di
Dataran Merdeka yang menjadi lokasi tumpuan aksi akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi longgokan
sampah.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran di Facebook miliknya berkongsikan keadaan lokasi bersejarah negara itu selepas ditinggalkan puluhan ribu peminat bola sepak yang
menyaksikan aksi final Piala Dunia 2026 awal pagi.
Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, sebarang penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan akta berkaitan pengurusan sisa pepejal yang sudah berkuat kuasa langsung tidak
memberi impak sepenuhnya sekiranya tabiat sambil lewa sebahagian rakyat tidak berubah.
Menurutnya, rakyat tidak wajar menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya bermula dengan mengubah sikap dan mengamalkan budaya menjaga
kebersihan.
Mengenai cadangan penambahan tong sampah bagi menyelesaikan isu berkenaan, Loy Sian menegaskan penyelesaian sebenar
terletak pada perubahan tingkah laku pengguna.
Jelas beliau, penambahan bilangan tong sampah di kawasan tumpuan awam tidak menjamin persekitaran yang bersih sekiranya sikap masyarakat masih tidak
berubah.
“Tidak juga, sikap manusia itu sendiri yang paling penting. Kalau kesedaran sivik seseorang itu tinggi, walaupun tiada tong sampah disediakan di sesuatu kawasan, dia akan membawa
sampah tersebut balik ke rumah untuk diuruskan dengan betul,” katanya.
Sementara itu, aktivis sosial, Firdaus Wong Wai Hung mencadangkan penganjur acara atau pihak berkuasa mengenakan yuran atau tiket nominal seperti RM10 sebagai caj pembersihan
kepada pengunjung.
Beliau menjelaskan, pendekatan tersebut perlu dilaksanakan memandangkan segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab hanya akan mula berubah sekiranya tindakan
pembuangan sampah itu memberi kesannya secara langsung kepada kewangan mereka.
“Jika poket tidak merasa sakit, mereka yang kurang kesedaran sivik akan terus jadi pengotor,” katanya.
Firdaus menegaskan sokongan terhadap dasar yang baik perlu dilaksanakan secara objektif tanpa mengira latar belakang politik mana-mana pihak demi kepentingan
masyarakat umum.
“Gambaran kebiasaan masyarakat yang gemar melepaskan tanggungjawab kepada pekerja pembersihan selepas selesai sesuatu program bukan sahaja
mengecewakan, malah turut memburukkan lagi ancaman terhadap alam sekitar,” katanya.-UTUSAN










