Tidak layan surat minta sokongan - PM

Tidak layan surat minta sokongan – PM

ANWAR Ibrahim menyampaikan Anugerah Usahawan SParK 2026 kepada Securido Door Sdn Bhd pada Majlis Perasmian SParK 2026di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran amalan melobi dan menggunakan surat sokongan bagi mendapatkan pinjaman atau bantuan daripada agensi bumiputera perlu dihentikan kerana perkara itu boleh menjejaskan keberkesanan institusi selain menyumbang kepada kegagalan perniagaan.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan budaya lama yang mengutamakan hubungan atau pengaruh berbanding keupayaan sebenar sebagai seseorang usahawan.

“Saya tidak peduli ketua cawangan ke, ketua cabang ke, ketua bahagian melobi. Saya sudah bagi amaran. Mana-mana ketua yang ada keupayaan, kita bantu. Kalau pakai surat sokongan saja, itu sudah langkah nak melingkupkan agensi bumiputera seperti mana yang kita sudah warisi puluhan tahun.

“Mengapa kita bagi pinjaman? Sebab dia ada kaitan yang rapat dengan orang-orang tertentu atau surat-surat kuning lah, hijau lah, biru lah, ini masalah merosakkan kita. Akhirnya kita bantu dan perniagaan itu lingkup kerana orang-orang itu tidak komited,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga di sini hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa amalan menyalahgunakan pinjaman dan bantuan yang disalurkan, harus dihentikan kerana ia hanya merugikan negara serta menjejaskan matlamat untuk memperkasa ekonomi golongan itu.

Katanya, pengalaman lalu menunjukkan terdapat penerima pinjaman yang lebih mengutamakan kemewahan berbanding membangunkan perniagaan sehingga akhirnya menyebabkan syarikat itu gagal.

“Seperti mana kita tahu, ada laporan-laporan dahulu diberi pinjaman. Langkah pertamanya apa? Pejabat yang indah, kemudian kenderaannya, kemudian (ada) isteri kedua, jadi kegiatannya untuk menjual lesennya dan mendapat komisen, ini perlu dihentikan.

“Kita bicara tentang semua nak popular, tapi tidak berani menegur ketempangan yang ada, bukan sedikit. Saya tahu ramai yang tidak senang dengan sergahan saya begini, tapi ini kenyataannya. Berapa puluh bilion yang lingkup saham? Penyenaraian saham bumiputera, berapa banyak yang jahanam, berapa banyak pinjaman,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga mengubah pendekatan pemantauan apabila semua kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi nasional dikehendaki melaporkan inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor masing-masing.

“Sejak dua tahun yang lalu, kita ada bermesyuarat untuk pembangunan ekonomi bumiputera yang saya pengerusikan. Saya akan mendengar laporan daripada setiap agensi bumiputera dan agensi nasional.

“Petronas harus menjelaskan kepada mesyuarat apa yang dilakukan sebagai tambahan untuk memastikan penyertaan bumiputera dalam industri minyak, gas dan juga bidang-bidang baharu.

“Bank-bank juga harus memberikan penjelasan bagaimana mereka dapat menetapkan beberapa program termasuk pinjaman atau kemudahan bagi mengangkat Bumiputera,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN