ALOR SETAR: Penyertaan dalam acara The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2026 melonjak lebih dua kali ganda kepada 4,200 peserta berbanding kira-kira 2,000 peserta pada edisi lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Baling sebagai destinasi larian denai bertaraf antarabangsa.
Penganjur merangkap Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn. Bhd., Mohd. Bukhari Ismail berkata, peningkatan ketara itu membuktikan acara itu semakin mendapat perhatian pelari lasak dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata, TMB100 2026 yang kembali dengan skala lebih besar turut dijangka menarik kira-kira 11,400 pengunjung ke Baling.
“Dengan kos penganjuran dianggarkan hampir RM2 juta, TMB100 2026 dijangka memberi impak ekonomi sebanyak RM7.8 juta kepada kawasan setempat menerusi kehadiran kira-kira 11,400 pengunjung dan 4,200 peserta dari dalam serta luar negara.
“Ia sekali gus memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada peniaga kecil, usahawan tempatan, pengusaha inap desa, pemandu e-hailing serta sektor perkhidmatan pelancongan setempat,” katanya pada sidang akhbar pelancaran TMB100 2026 di sini hari ini.
Mohd. Bukhari berkata, acara yang berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos itu turut menarik penyertaan peserta dari 14 negara termasuk United Kingdom, Australia, Singapura dan Korea Selatan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, peningkatan penyertaan itu membuktikan Kedah berjaya menarik pelancong dari luar negara yang ingin menikmati pengalaman berbeza.
“Pelancong kini ingin merasai pengalaman yang berbeza, bukan sekadar melancong dan bersantai. Dengan penyertaan yang bertambah setiap tahun, acara ini berjaya memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
“Saya mendapat maklumat bahawa sepanjang acara berlangsung, hotel dan inap desa habis ditempah sehingga ada pengunjung yang terpaksa menginap di Pengkalan Hulu, Perak,” katanya.
Sementara itu, kesinambungan kepada kalendar pelancongan sukan Baling, Tour Geo D Kedah 2026 akan berlangsung dari 2 hingga 6 September ini yang dianjurkan oleh Persatuan Berbasikal Negeri Kedah Darul Aman. – UTUSAN










