PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini hadir ke bangunan Tabung Haji hari ini bagi mendapatkan beberapa dokumen berkaitan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan institusi itu yang diterbitkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata, seramai lapan pegawai penyiasat telah ke ibu pejabat institusi itu pagi bagi meneliti dokumen berkaitan.
Katanya, tindakan yang diambil susulan siasatan yang dimulakan selepas satu pasukan khas ditubuhkan semalam.
Selain itu, katanya, tindakan itu dilaksanakan susulan saranan Perdana Menteri supaya agensi penguat kuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap laporan RCI yang dikeluarkan baru-baru ini.
“Untuk makluman semua, pihak kami telah pun bergerak masuk ke bangunan Tabung Haji pagi ini, pasukan penyiasatan sudah mula melakukan siasatan pagi ini di mana seramai lapan pegawai ke TH.
“Mereka mengenal pasti dokumentasi berkaitan dengan perkara yang ditekankan dalam RCI serta perkara yang berkait dengan siasatan kami,” katanya pada sidang di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Menurutnya, pasukan penyiasatan juga sedang mengenal pasti individu yang akan dipanggil bagi dirakam percakapan selepas meneliti senarai berkaitan mengikut prosedur ditetapkan.
Mengulas sama ada pengurusan tertinggi Tabung Haji termasuk bekas pengerusi akan dipanggil, beliau berkata siasatan tidak dihadkan kepada mana-mana tempoh tertentu.
Sebaliknya, katanya, siasatan akan dijalankan berdasarkan penemuan dan syor yang dikemukakan dalam laporan RCI.
“Fokus siasatan adalah untuk meneliti sama ada terdapat unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa ataupun ketidakberesan berdasarkan Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Mana-mana individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan siasatan akan dipanggil untuk dirakam percakapan mengikut proses yang ditetapkan,” jelasnya.
Semalam, SPRM memaklumkan, pasukan itu diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar.
Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH daripada 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat. –UTUSAN










