SPRM cadang pertuduhan babit 69 kertas siasatan Ops Daya

SPRM cadang pertuduhan babit 69 kertas siasatan Ops Daya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan pertuduhan terhadap 69 kertas siasatan melibatkan ejen, syarikat dan individu berhubung dakwaan tuntutan palsu insentif Program Daya Kerjaya 2.0 pada awal Ogos depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, seramai 77 daripada 98 individu yang disiasat telah direman berhubung dakwaan berkenaan.

Katanya, penahanan itu dibuat selepas pihak berkuasa membuka 81 kertas siasatan di seluruh negara setakat semalam bagi menyiasat penyelewengan yang dianggarkan bernilai RM9 juta.

Menurutnya, siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 itu membabitkan 143 syarikat dipercayai mengemukakan permohonan palsu bagi mendapatkan insentif program berkenaan bagi tempoh 2024 hingga 2025, membabitkan seramai 320 pekerja.

“Daripada 81 kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 69 kertas siasatan membabitkan ejen, syarikat dan individu akan disyorkan untuk tindakan pertuduhan di mahkamah.

“Satu kertas siasatan masih diteruskan bagi mengesan sasaran utama, manakala lima lagi disyorkan untuk Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

“Enam kertas siasatan akan dirujuk kepada Bahagian Penyiasatan Tatakelola bagi pembukaan Kertas Pemeriksaan Tatakelola (KPT) berhubung kelemahan amalan, sistem dan tatacara kerja, khususnya berkaitan prosedur pemulangan wang,” katanya pada sidang akbar, di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 724 individu dirakam keterangan dan pihaknya turut melakukan beberapa sitaan termasuk emas, wang tunai dan barang berharga bernilai RM74,168.

Katanya, selain itu 36 akaun syarikat membabitkan dana berjumlah RM463,076 turut dibekukan bagi membantu siasatan, setakat ini.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 1,638 syarikat dalam radar SPRM kerana disyaki memalsukan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM45 juta.

Op Daya yang dijalankan bermula 9 Jun lalu menahan 97 individu dan 143 syarikat disiasat setakat ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN