PSP perintis pembangunan bakat profesional logistik halal negara - Utusan Malaysia

PSP perintis pembangunan bakat profesional logistik halal negara

SHAMSURI Abdullah (dua dari kanan) bersama Anwar Ibrahim ketika Majlis Peluncuran Program DPTLH sempena PIHEX dan HUBPP di PSP, Pulau Pinang kelmarin. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Politeknik Seberang Perai (PSP) dipilih sebagai institusi perintis dalam pembangunan bakat profesional bagi sektor logistik halal negara.

Sebagai institusi perintis, PSP akan menawarkan program diploma profesional pertama yang dikenali sebagai Program Diploma Profesional Teknologi Logistik dan Halal (DPTLH) di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Majlis peluncuran program itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) di sini, kelmarin.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, pelaksanaan DPTLH membuktikan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam merealisasikan Iltizam 1 KPT iaitu memperkasa Professional Technical Education (PTE) melalui penyediaan program yang responsif.

“Program DPTLH ini bukan sahaja memperkukuh pemba­ngunan modal insan berkemahiran tinggi, malah menjadi manifestasi pelaksanaan Iltizam 1 KPT itu sendiri iaitu untuk memperkasa PTE melalui kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri.

“Dalam hal ini, pemilihan PSP sebagai institusi perintis diyakini mampu menjadi model rujukan dalam pembangunan program diploma profesional berasaskan industri, sekali gus menyokong agenda negara sebagai hab logistik dan halal bertaraf global,” katanya.

Industri halal negara mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beberapa negara menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan Malaysia.

Sebagai program latihan profesional berasaskan industri (industry-driven), DPTLH dibangunkan dengan kerjasama 31 agensi dan rakan strategik industri bagi memastikan kurikulumnya memenuhi keperluan semasa sektor logistik halal, selain dilaksanakan secara fleksibel selama tiga bulan atau bersamaan 192 jam pembelajaran.

Disokong oleh Halal and Logistics Technology Excellence Centre (Haltec) sebagai pusat kecemerlangan dalam pembangunan latihan, inovasi dan kolaborasi industri, DPTLH merangkumi empat modul utama iaitu Smart Warehouse, Digital Apps Development, Smart Drone Technology dan Halal Executive.

Menerusi program itu juga, peserta berpeluang memperoleh sijil kompetensi industri yang dikeluarkan oleh rakan strategik bagi meningkatkan kompetensi dan kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan.

Sementara itu, PSP memaklumkan, pengambilan pertama program tersebut dijangka bermula September tahun ini dan akan diteruskan sepanjang tahun mengikut permintaan industri.

“Program ini terbuka kepada belia berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai kemahiran asas membaca dan menulis, dengan tumpuan kepada belia di Parlimen Permatang Pauh serta golongan B40.

“Ia bagi memperluas akses pendidikan dan latihan profesional berkualiti serta meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor logistik halal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN