Inisiatif Makmur Pahang generasi muda sedia RM3.64 juta

Program Inisiatif Makmur Pahang perkasa pendidikan generasi muda sedia RM 3.64 juta

WAN ROSDY menyampaikan replika cek bernilai RM3.64 juta kepada Pengarah Pendidikan Pahang, Ahmad Zamri Md Isa pada Majlis Pelancaran 1M Pahang Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Latihan SPM, STPM dan STAM 2026 di SMK Purun, Bera Pahang. – UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan Pahang memperuntukkan kira-kira RM3.64 juta bagi menjayakan Program 1M Pahang Inisiatif Makmur Pahang menerusi pengagihan buku rujukan dan latihan peperiksaan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan STAM 2026 di seluruh negeri sebagai usaha memperkasa pendidikan generasi muda.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif pendidikan berskala besar itu bukan sekadar membantu pelajar menghadapi peperiksaan, malah merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan negeri dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan mempunyai jati diri kukuh.

Menurut beliau, pendidikan perlu terus diperkasakan kerana menjadi asas utama kepada perubahan taraf hidup rakyat selain pemangkin kemajuan negeri pada masa hadapan.

“Apabila ilmu dipertingkatkan, kehidupan rakyat boleh berubah. Apabila anak-anak berjaya, negeri Pahang juga akan terus maju, makmur dan mampu bersaing,” katanya kepada Utusan Pelajar selepas Majlis Pelancaran 1M Pahang Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Latihan SPM, STPM dan STAM 2026 di SMK Purun, baru-baru ini.

Beliau berkata, seramai 22,670 pelajar menerima manfaat daripada program berkenaan tahun ini membabitkan 21,863 calon SPM, 267 calon STPM dan 540 calon STAM di seluruh negeri.

Katanya, kerajaan negeri turut menambah baik kandungan bantuan pendidikan apabila jumlah buku rujukan teras ditingkatkan daripada empat kepada enam subjek dengan penambahan Matematik Tambahan dan Sains bagi membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar.

“Dulu kita beri buku Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik, namun tahun ini kita tambah dua lagi subjek supaya manfaat diterima secara lebih menyeluruh oleh pelajar,” katanya.

Wan Rosdy berkata, kejayaan Pahang muncul negeri terbaik keputusan SPM 2025 membuktikan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, guru, ibu bapa dan pelajar kini berada pada landasan tepat.

Menurut beliau, daripada 21,043 calon SPM 2025 yang mendaftar peperiksaan, sebanyak 96.52 peratus layak menerima sijil, manakala 671 pelajar memperoleh keputusan cemerlang semua A sekali gus meletakkan Pahang sebagai negeri terbaik pencapaian SPM negara.

“Kerajaan negeri sentiasa mendengar denyut nadi rakyat termasuk maklum balas pihak pendidikan yang mahu program ini diteruskan lebih awal kepada pelajar.

“Jabatan Pendidikan Negeri Pahang turut mencadangkan supaya program ini diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Empat bermula tahun 2027 agar persediaan peperiksaan dapat dibuat lebih awal dan lebih tersusun. Kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan itu kerana kita mahu anak-anak Pahang menerima pendidikan terbaik,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan pendidikan di negeri ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada kestabilan pentadbiran, pengurusan kewangan negeri yang baik serta komitmen kerajaan mengembalikan hasil negeri kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif pendidikan dan kebajikan.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima, Norsyamira Husna Azman, 17, berkata, bantuan buku rujukan tersebut amat membantu dirinya membuat persediaan awal menghadapi peperiksaan SPM selain mengurangkan beban kewangan keluarga.

“Buku ini sangat berguna kerana mengandungi latihan dan nota penting. Saya rasa lebih bersemangat untuk belajar dan mahu memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Normaliza Mohd Ali, 17, berkata, inisiatif kerajaan negeri membuktikan kebajikan pendidikan pelajar sentiasa diberi perhatian serius.

“Bila dapat buku seperti ini, kami rasa lebih yakin dan dihargai. Ia memberi motivasi kepada kami untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap sektor pendidikan amat dihargai kerana terbukti menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik pelajar di negeri ini.

Menurutnya, komitmen kerajaan Pahang menerusi pelbagai inisiatif pendidikan membantu meningkatkan akses pembelajaran berkualiti selain menyuntik motivasi kepada pelajar untuk mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan awam.

“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang menjadi kekuatan utama dalam memastikan agenda pendidikan terus diperkasa demi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN