PETALING JAYA: Lebih 100,000 pengundi Felda di Negeri Sembilan berpotensi menjadi penentu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perubahan corak pengundian itu dapat dilihat pada PRN Johor apabila sokongan pengundi Felda kembali merentasi semua generasi.
Katanya, pada masa lalu, generasi pertama penero ka sebahagian besarnya kekal setia dengan BN dan UMNO namun tidak dalam kalangan pengundi generasi kedua, ketiga dan keempat.
“Bagaimanapun, ketika PRN Johor, sokongan kembali merentasi semua generasi. Saya yakin trend sama akan berlaku di Negeri Sembilan.
“Justeru, kira-kira 16,000 peneroka Felda di Negeri Sembilan dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan PRN dengan jumlah keseluruhan pengundi Felda di negeri itu dianggarkan mencecah 112,000 orang.
“Jika tahap kerjasama itu dapat dicapai, ia akan menjadi pencetus perubahan besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, landskap demografi Felda kini turut berubah apabila ramai dalam kalangan generasi kedua dan ketiga tidak lagi menetap di tanah rancangan, namun masih berdaftar sebagai pengundi dan pulang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
Katanya, perubahan jajaran politik semasa turut membuka ruang kepada golongan muda Felda yang sebelum ini menjauhkan diri daripada UMNO untuk kembali memberi sokongan kepada BN.
“Mereka mungkin memilih untuk kembali menyokong BN,” katanya.
Bekas Pengerusi Felda itu berkata, keutamaan generasi muda Felda kini lebih tertumpu kepada isu perumahan, pendidikan dan peluang pekerjaan berbanding beban hutang peneroka yang dihadapi generasi terdahulu.
Beliau berkata, penyediaan lot perumahan kepada generasi baharu merupakan antara isu yang mampu mempengaruhi sokongan pengundi Felda pada PRN Negeri Sembilan.
“Generasi kedua dan ketiga tidak lagi dibebani hutang peneroka. Kebimbangan mereka kini berbeza.
“Dalam konteks isu perumahan generasi, warga Negeri Sembilan boleh mencontohi Pahang dan Johor.
“Kedua-dua negeri itu telah menyediakan lebih 31,000 lot perumahan untuk generasi baharu dan kedua-duanya dipimpin oleh kerajaan BN,” katanya.- UTUSAN










