ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) yakin Datuk Onn Hafiz Ghazi terus mendapat sokongan golongan muda untuk kekal menerajui Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, faktor pengundi muda yang merangkumi Undi 18, pengundi bawah 40 tahun serta pengundi kali pertama merupakan lebih 50 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekaligus menjadi penentu utama landskap politik negeri.
Katanya jumlah pengundi muda yang besar itu menunjukkan keperluan untuk kepimpinan yang dekat dengan generasi tersebut selain mampu memahami aspirasi mereka terhadap pembangunan negeri.
“Undi 18 di Johor terdapat lebih kurang 52 peratus, ini termasuk pengundi-pengundi di bawah 40 tahun dan pengundi pertama kali. Jadi, saya harap mereka dapat bersama-sama Onn Hafiz untuk membangunkan Johor. Kita yakin mereka dekat dengan Onn Hafiz, sebab itu kita munculkan sekali lagi beliau sebagai tokoh muda.
“Insya-Allah, atas perkenan istana akan memberi kesinambungan sebagai Menteri Besar Johor,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jelajah TVET Majlis Amanah Rakyat (MARA) Johor Darul Ta’zim di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya Ahmad Zahid berharap golongan muda muda di Johor akan memilih untuk kekal bekerja dalam negeri bagi bersama-sama membangunkannya.
“Johor akan terus membangun lebih maju berbanding negeri lain dan mampu menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti. Adakah anda mahu bersama Onn Hafiz untuk membina masa depan Johor? Saya yakin dengan jiwa kental yang ada di hadapan saya ini.
“Saya percaya itulah harapan Menteri Besar Johor dalam memastikan pembangunan negeri ini bukan sahaja membawa pelaburan, tetapi mencipta pekerjaan berkualiti untuk Bangsa Johor,” katanya. – UTUSAN










