Prestasi PUNB memberansangkan laksana agenda bumiputera - Anwar

Prestasi PUNB memberansangkan laksana agenda bumiputera – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika gimik perasmian SParK 2026 : Transformasi Niaga di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sebagai antara agensi yang cemerlang dalam melaksanakan agenda pembangunan bumiputera di negara ini.

Beliau berkata, pencapaian itu turut didorong oleh kerjasama erat PUNB dengan agensi-agensi bumiputera lain dalam memastikan agenda memperkasa usahawan bumiputera dapat dilaksanakan secara berkesan.

“(Mereka) laksanakan dengan baik (pemerkasaan bumiputera), kalau lakukan dengan baik, maka kita akan tambah (pembiayaan). Sekarang ini PUNB di antara agensi yang melaksanakan dengan penumpuan kepada keutamaan yang telah kita jelaskan dan kerjasama dengan semua agensi bumiputera yang lain,” katanya selepas merasmikan program SParK 2026: Transformasi Niaga di sini hari ini.

Menerusi kenyataan, PUNB berkata, penganjuran SPark 2026 diadakan menjelang ulang tahun ke-35 PUNB dan mencerminkan komitmen institusi itu untuk terus memainkan peranan strategik dalam pembangunan usahawan Bumiputera selaras dengan agenda ekonomi negara.

“Sebagai sebahagian daripada hala tuju jangka panjang di bawah Kerangka Strategik R30, PUNB menyasarkan kelulusan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“Sasaran kelulusan pembiayaan ini bertujuan mempercepat pertumbuhan syarikat bumiputera, meningkatkan keupayaan skala komersial, mencipta peluang pekerjaan berkualiti, serta mengukuhkan rantaian bekalan utama negara,” katanya.

Katanya lagi, sasaran tersebut akan digerakkan melalui kemudahan pembiayaan sedia ada PUNB seperti Prosper Grow, Prosper Great dan Prosper Impact/Nova selain penambahbaikan program yang lebih bersasar mengikut keperluan sebenar usahawan.

PUNB berkata, dalam usaha membantu usahawan mendepani cabaran kos operasi, keperluan modal kerja dan persaingan pasaran, PUNB turut menurunkan kadar pembiayaan Prosper Grow kepada serendah 3.5 peratus setahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN