Polis sahkan ancaman di kilang papan guna bom palsu

Polis sahkan ancaman di kilang papan guna bom palsu

SEBANYAK 1,408 mesin perlombongan bitcoin dilupuskan di pekarangan bangunan Bahagian Pencegahan Jenayah, Komuniti dan Keselamatan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Objek menyerupai bom tangan yang ditemukan bersama sekeping nota berbaur ugutan di sebuah kilang papan di Bukit Selambau, Sungai Petani kelmarin adalah palsu dan diperbuat daripada kayu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, perkara itu disahkan Unit Pemusnah Bom (UPB) yang membuat siasatan di lokasi penemuan objek tersebut.

“Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kita masih berhubung dengan pihak syarikat bagi menyiasat dalam semua aspek,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Bitcoin, di sini hari ini.

Kata beliau, polis sedang meneliti pelbagai kemungkinan termasuk motif di sebalik kejadian itu dan sama ada ia mempunyai kaitan dengan isu dalaman syarikat.

“Biasanya kita akan lihat sama ada wujud unsur ketidakpuasan hati dalam kalangan pekerja. Bagaimanapun, berdasarkan maklumat syarikat, tiada pemberhentian pekerja atau penamatan kontrak secara besar-besaran berlaku. Pekerja tempatan hanya 36 orang manakala selebihnya pekerja asing yang memiliki permit kerja sah,” ujarnya.

Menurutnya, polis turut menghantar sampel objek dan bahan yang ditemui pasukan forensik ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan bukti termasuk profil asid deoksiribonukleik (DNA).

Tambahnya, siasatan juga diteruskan berdasarkan keterangan seorang saksi yang mendakwa ternampak seorang lelaki di kawasan kejadian dan proses menghasilkan lakaran wajah atau fotofit sedang dijalankan.

“Setakat ini kita telah mengambil keterangan daripada pemilik, pengurus, kerani dengan seorang saksi iaitu tukang kebun. Kamera litar tertutup di kawasan itu didapati tidak berfungsi,” katanya.

Sementara itu, Polis Kedah melupuskan sebanyak 1,408 unit mesin perlombongan bitcoin bernilai kira-kira RM1.6 juta yang dirampas dari 2021 hingga tahun ini.

Adzli berkata, pelupusan tersebut dilaksanakan selepas semua kes melibatkan 34 kertas siasatan itu selesai proses perundangan serta mendapat perintah daripada mahkamah.

Kata beliau, rampasan mesin bitcoin berkenaan melibatkan lima daerah iaitu Kuala Muda sebanyak 683 unit, Kota Setar (324), Kulim (279), Pendang (77) dan Yan (45).

“Kegiatan perlombongan bitcoin secara haram masih menggunakan kaedah sama iaitu membuat penyambungan elektrik secara tidak sah bagi mengelak pembayaran bil elektrik.

“Mereka biasanya menempatkan antara 80 hingga 100 mesin di satu premis dan beroperasi selama 24 jam tanpa henti. Mesin ini menghasilkan haba yang tinggi menyebabkan mereka perlu menggunakan pendingin hawa,” katanya.

Menurutnya, kegiatan tersebut bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Tenaga Nasional Berhad, malah meningkatkan risiko kebakaran, letupan, litar pintas serta gangguan bekalan elektrik kepada pengguna lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN