KUALA LUMPUR: Seramai 250 pelatih wanita melapor diri bagi mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3 Tahun 2026 di Kem 515 Askar Wataniah (AW), Kem Kementah, di sini hari ini.
Pendaftaran sejak pukul 8 pagi itu turut melibatkan pelatih dari Sabah dan Sarawak.
Pengarah Bahagian Perancangan dan Dasar, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kolonel Abdul Rani Abdul Majid berkata, modul latihan yang akan dilaksanakan banyak kepada latihan ketenteraan.
“Pelatih akan menjalankan 70 peratus modul latihan berasaskan ketenteraan manakala 30 peratus lagi adalah berasaskan kenegaraan.
“Pelatih yang melapor diri di Kem 515 AW datang dari seluruh negara. Kami mengintegrasikan keseluruhan peserta dari semua negeri di Malaysia,” katanya semasa sidang akhbar Hari Pendaftaran Lapor Diri Pelatih PLKN 3.0 Siri 3 Tahun 2026 di sini
Tambah beliau, program latihan yang berlangsung selama 45 hari bermula hari ini melibatkan keseluruhan 870 pelatih di tiga kem latihan.
Daripada jumlah itu, 500 pelatih ditempatkan di Kem 505 AW, Pekan, Pahang, 250 pelatih di Kem 515 AW, Kuala Lumpur dan 120 pelatih di Kem 504 AW, Bukit Keteri, Perlis.
Dalam pada itu, JLKN turut memberi kelonggaran kepada 77 pelatih yang terlibat dalam proses pengundian bagi PRU DUN Johor Ke-16 dan PRU DUN Negeri Sembilan.
Daripada jumlah tersebut, 31 pelatih yang mengundi di Johor dibenarkan melapor diri ke kem pada 12 Julai manakala 46 pelatih yang mengundi di Negeri Sembilan akan diberi pelepasan selama dua hingga tiga hari.
“Kami akan buka pendaftaran esok kepada 12 pelatih yang terlibat dalam pengundian di Johor bagi Kem 515 AW manakala 11 lagi merupakan pengundi Negeri Sembilan,” katanya.
JLKN menegaskan, kelonggaran itu diberikan bagi memastikan pelatih dapat menunaikan hak sebagai pengundi tanpa menjejaskan objektif pelaksanaan PLKN 3.0. – UTUSAN










