PETALING JAYA: Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 perlu memberi keutamaan kepada aspek keselamatan peserta, latihan yang tersusun serta bimbingan profesional agar pelatih dapat menumpukan perhatian sepenuhnya sepanjang tempoh program.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata, kerajaan sehubungan itu digesa meneliti aspek kemudahan, modul latihan dan kualiti tenaga pengajar agar pelaksanaan PLKN 3.0 berjalan dengan lebih berkesan dan selamat.
Katanya, kelahiran generasi muda yang berdisiplin, patriotik dan bersatu padu hanya akan tercapai sekiranya persekitaran latihan berada dalam keadaan terkawal, tenaga pengajar berkualiti dan modul latihan disesuaikan dengan keperluan semasa.
“Pelaksanaan semula program itu diyakini mampu menyemai semangat perpaduan, kesetiaan dan kenegaraan dalam kalangan generasi muda, sebagaimana matlamat asal PLKN ketika mula diperkenalkan pada Februari 2004.
“Penglibatan peserta daripada pelbagai latar belakang akan memperkukuh hubungan antara kaum dan membina semangat patriotik dalam kalangan belia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, seramai 100,000 orang bakal diwajibkan menyertai PLKN 3.0 tahun depan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 700,000 melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan selebihnya menyasarkan penyertaan orang awam melalui kem wataniah. – UTUSAN










