191,126 pelajar IPTA sertai PLKN 3.0 tahun depan

191,126 pelajar IPTA sertai PLKN 3.0 tahun depan

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 191,126 pelajar dari 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dijangka menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada tahun hadapan sekali gus melepasi sasaran penyertaan yang ditetapkan kerajaan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sasaran itu disokong pengambilan seramai 10,520 pelatih di sembilan lokasi kem latihan, tidak termasuk kapasiti tambahan menerusi penggunaan kem alternatif seperti Kem MALBATT Village dan Pusat Latihan RELA.

Katanya, bilangan pelatih dijangka akan terus meningkat secara berperingkat selaras dengan ketersediaan dan kesiapsiagaan kem latihan, tenaga pengajar serta infrastruktur.

“PLKN 3.0 di IPT dibuat secara berfasa menerusi kerjasama antara Kementerian Pertahanan (Mindef) melalui Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan pelaksanaannya seragam serta mencapai objektif yang ditetapkan.

“Bagi memastikan standard latihan yang sama di semua institusi, kedua-dua kementerian telah memuktamadkan pemetaan modul merangkumi 30 peratus Modul Kenegaraan, 30 peratus Modul Kepimpinan dan 40 peratus Modul Ketenteraan.

“Kursus Training of Trainers (TOT) turut dilaksanakan bersama JLKN, KPT dan Akademi Kenegaraan Malaysia bagi memastikan pensyarah serta fasilitator mempunyai kefahaman, kemahiran dan piawaian penyampaian yang seragam.

“Pemilihan peserta pula dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu sistem balloting dan penyertaan secara sukarela,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan mengenai rancangan dan langkah penyelarasan pelaksanaan PLKN 3.0 di institusi pengajian tinggi (IPT) serta unjuran bagi memastikan program itu meliputi IPT awam dan swasta.

Mengulas lanjut, Adly berkata, kerajaan memulakan pelaksanaan PLKN 3.0 di IPT menerusi program rintis di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 16 Jun lalu melibatkan seramai 996 pelajar.

Katanya, program rintis itu turut diperluaskan ke tiga politeknik iaitu Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Politeknik Banting dan Politeknik Seberang Perai membabitkan 4,000 pelajar.

“Program ini akan diperluaskan ke tiga kampus Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mulai Ogos 2026 melibatkan seramai 1,184 pelajar.

“Berdasarkan penilaian awal, pelaksanaan program rintis memperoleh maklum balas positif khususnya berkaitan modul kenegaraan, patriotisme, kepimpinan serta pembentukan sahsiah,” katanya.

Sebelum PLKN 3.0 diperluas ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), beliau berkata, kerajaan perlu menilai keberkesanan modul, pencapaian objektif, maklum balas peserta dan institusi, kesiapsiagaan prasarana, tenaga pengajar serta keupayaan melaksanakan program secara mampan.

Namun katanya, buat masa ini keutamaan pelaksanaan PLKN 3.0 diberikan kepada IPTA sebelum diperluaskan ke IPTS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN