Penyertaan sukarela PLKN 3.0 menggalakkan

Penyertaan sukarela PLKN 3.0 menggalakkan

AHMAD Husaini Abdul Rahman (dua dari kanan) diiringi Samad (kanan) beramah mesra dengan peserta PLKN ketika hadir pada Jerayawara Program Parlimen Belia Malaysia (PBMy) di Cawangan Latihan Khidmat Negara, Kem Malbatt Village, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Penyertaan secara sukarela dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 menerima sambutan menggalakkan daripada golongan muda.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Brig. Jeneral Samad Igom berkata, seramai 474 individu menyertai program tersebut secara sukarela bagi dua siri sebelum ini.

“Bagi siri pertama, seramai 265 pelatih hadir secara sukarela daripada keseluruhan 883 pelatih yang dilatih manakala bagi siri kedua pula, seramai 209 pelatih turut hadir secara sukarela daripada keseluruhan 1,375 pelatih.

“Penyertaan ini menunjukkan masih ramai golongan muda yang berminat menyertai PLKN walaupun sebelum ini tidak berpeluang melalui sistem balloting. Kesemua mereka ini berusia 25 tahun ke bawah dan tertakluk kepada syarat serta prosedur ditetapkan,” katanya.

Beliau ditemu pemberitai pada Jerayawara Program Parlimen Belia Malaysia (PBMy) di Cawangan Latihan Khidmat Negara Kem Malbatt Village, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia merangkap Pengerusi Parlimen Belia, Datuk Dr. Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Beliau berkata, kebanyakan pelatih sukarela terbabit menyatakan ingin membentuk jati diri, di samping memperoleh ilmu serta pengalaman sebagai persediaan berkhidmat kepada negara.

Tambahnya, penyertaan tersebut membuktikan perspektif negatif terhadap pelaksanaan semula PLKN telah berubah apabila semakin ramai golongan muda tampil secara sukarela untuk menyertai program berkenaan.

Katanya, terdapat juga peserta yang menyertai untuk merebut peluang mendapatkan merit tambahan yang ditawarkan bagi meningkatkan daya saing dalam kerjaya.

Sementara itu, Samad berkata, modul PLKN 3.0 kini dilaksanakan dengan pendekatan baharu yang lebih menyeluruh, merangkumi 70 peratus latihan ketenteraan dan 30 peratus modul kenegaraan.

“Kami juga akan melaksanakan program rintis PLKN di IPT dengan sasaran kira-kira 6,000 pelatih bermula Jun ini dengan melibatkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan sasaran kira-kira 1,000 pelatih peringkat diploma.

“Selain itu, pada Ogos pula, program sama akan diperluaskan ke tiga politeknik dengan anggaran 4,000 pelatih serta 1,000 pelatih di tiga Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya.” katanya.

Tambahnya, siri ketiga akan bermula 11 Julai hingga 24 Ogos depan melibatkan pembukaan Kem 504 di Keteri, Perlis serta peserta kelahiran 2008 perlu mengesahkan kehadiran sebelum 19 Jun ini. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN