KANGAR: Putus asa mengusahakan tanaman kerana kos terlalu tinggi serta golongan muda sudah tidak berminat dengan kerja-kerja di bendang antara faktor bilangan pesawah di negara ini menurun daripada 348,266 kepada 230,119, penyusutan 33.9 peratus.
Penurunan tersebut direkodkan hanya dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2023.
Selain itu, kadar sara diri (SSL) beras negara juga menunjukkan kemerosotan daripada 68 peratus kepada 56.2 peratus iaitu penyusutan 17.4 peratus. Penurunan 17.4 peratus itu direkodkan dari tahun 2018 hingga 2023 dengan kemerosotan terus berlarutan sehingga kini iaitu terbaharu pada 2025 sekitar 54.3 peratus.
Situasi itu menggambarkan industri beras negara berada dalam keadaan makin tenat dengan pesawah terus berdepan pelbagai masalah.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, selain itu, pengeluaran beras tempatan juga menunjukkan kemerosotan dari 1.474 juta tan metrik pada 2019 kepada 1.362 juta tan pada 2024 iaitu penyusutan 7.6 peratus
Katanya, ia sekali gus mendorong kepada kebergantungan beras import yang meningkat mendadak daripada 890,100 tan metrik pada 2019 kepada 1.500 juta tan metrik pada 2024 iaitu peningkatan sehingga 68.5 peratus.
Beliau berkata, perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan industri padi dan keterjaminan makanan negara.
“Dalam tempoh lima tahun itu, jumlah pesawah merosot 33.9 peratus, SSL merosot 17.4 peratus, penghasilan beras tempatan merosot 7.6 peratus. Kemerosotan itu hanya menyebabkan beras import terus meningkat sehingga 68.5 peratus.
“Turut menjadi persoalan, ke mana perginya 118,147 pesawah (daripada 348,266 pesawah menurun kepada 230,119 pesawah). Adakah tanah sawah dijual, disewa atau ditukar kepada tanaman lain lebih menguntungkan.
“Hakikatnya kebanyakan pesawah sudah berputus asa mengusahakan tanaman kerana kos terlalu tinggi serta pelbagai masalah, manakala generasi muda pula sudah tidak lagi berminat meneruskan warisan ibu bapa bapa mereka mengusahakan sawah kerana ia bukan lagi pekerjaan menguntungkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Katanya lagi, kos pengeluaran tinggi, pendapatan pesawah yang relatif rendah, jurang hasil, saiz ladang kecil serta kekurangan mekanisasi sebagai antara cabaran subsektor padi.
Beliau berkata, rakyat berhak bertanya di mana silapnya apabila melihat pesawah semakin berkurang, pengeluaran beras tempatan menurun dan import terus meningkat.
“Apabila peruntukan kerajaan untuk sektor padi terus diberikan, mengapa industri makin tenat dan pesawah berkurang. Kalau program bertambah, kenapa pengeluaran beras tempatan tidak menunjukkan peningkatan yang sepadan dan jika strategi kita berjaya, kenapa kebergantungan kepada import semakin besar,” katanya. – UTUSAN











