Perkukuh tadbir urus keutamaan kerajaan 

Perkukuh tadbir urus keutamaan kerajaan 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keutamaan kerajaan ketika ini adalah melaksanakan reformasi tadbir urus negara kerana kekuatan Malaysia di pentas antarabangsa perlu bermula dengan pembaharuan di dalam negara.

Beliau berkata, usaha memperkukuh tadbir urus, membanteras rasuah, mengurangkan ketidaksamaan serta memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti menjadi fokus utama kerajaan.

Katanya, walaupun Malaysia akan terus menyuarakan pendirian berprinsip terhadap pelbagai isu antarabangsa, keutamaan ketika ini adalah membina sebuah negara yang lebih baik dan membuktikan bahawa sebuah negara majoriti Islam mampu mengamalkan nilai demokrasi, kesederhanaan serta keterangkuman.

“Saya mahu memastikan saya dapat melaksanakan perubahan dan reformasi di negara ini. 

“Gunakan kuasa yang ada untuk memperjuangkan nasib rakyat serta memastikan setiap warganegara mempunyai hak kepada pendidikan asas dan penjagaan kesihatan,” katanya ketika sesi soal jawab dalam Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) Ke-39 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dunia tidak seharusnya melihat perpecahan global sebagai satu pertembungan tamadun kerana kebanyakan konflik sebenarnya berpunca daripada salah faham dan prasangka.

Beliau turut memetik pandangan sarjana Palestin-Amerika Syarikat, Allahyarham Edward Said yang menyifatkan banyak ketegangan antarabangsa sebagai ‘pertembungan kejahilan’ apabila masyarakat membuat penilaian terhadap pihak lain tanpa benar-benar memahami latar belakang, budaya dan pegangan mereka.

Menurut beliau, Kerangka Malaysia MADANI turut memberi penekanan terhadap keseimbangan antara kemajuan teknologi dan pembangunan nilai kemanusiaan dengan menggalakkan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya untuk saling memahami.

Mengulas konsep li ta’arafu yang terkandung dalam al-Quran, Anwar berkata, masyarakat perlu melangkaui sikap sekadar bertoleransi dengan berusaha memahami serta menghargai perbezaan antara satu sama lain.

Katanya, pendekatan itu amat penting bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Konsep li ta’arafu mengajar kita supaya bukan hanya hidup bersama, tetapi benar-benar mengenali, memahami dan menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN