KOTA KINABALU: Sabah dicadangkan untuk memainkan peranan utama dalam memimpin Malaysia bagi agenda tadbir urus dan tindakan berkaitan perubahan iklim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, beliau berbangga dengan pencapaian Sabah yang disifatkan progresif dan berada di hadapan dalam pengurusan isu perubahan iklim.
Menurutnya, Malaysia mempunyai komitmen antarabangsa melalui Perjanjian Rio De Janeiro 1992 yang menetapkan liputan hutan negara tidak boleh kurang daripada 50 peratus.
Bagaimanapun katanya, data terkini menunjukkan Semenanjung Malaysia hanya mencatatkan liputan hutan sebanyak 43.18 peratus, sekali gus gagal memenuhi obligasi tersebut.
“Sebaliknya, Sarawak masih mencatatkan 61.52 peratus, manakala Sabah merekodkan liputan tertinggi iaitu 62.53 peratus.
“Kita di Sabah menyumbang besar kepada liputan hutan negara dan pencapaian ini tidak mungkin dicapai tanpa dasar serta perancangan rapi kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Arthur yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menekankan kepentingan peranan komuniti dalam memelihara hutan, selain mencadangkan supaya mereka turut menikmati manfaat daripada pengewangan karbon kredit.
Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, berkata, kerajaan negeri mengambil kira perkara itu menerusi Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025.
Seksyen 22 enakmen berkenaan memperuntukkan keperluan penglibatan komuniti anak negeri dalam setiap aktiviti berkaitan karbon.
“Ini bermakna sebarang projek karbon melibatkan kawasan komuniti tempatan tidak boleh dilaksanakan tanpa rundingan, cadangan manfaat dan pertimbangan terhadap kepentingan mereka.
“Peruntukan ini menjadi asas penting bagi memastikan komuniti tempatan, termasuk masyarakat adat, mendapat perhatian sewajarnya dalam pelaksanaan projek karbon,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perincian lanjut berkaitan tatacara penglibatan, syarat kelulusan dan mekanisme pelaksanaan akan diperhalusi melalui peraturan di bawah enakmen berkenaan. – UTUSAN










