Golden Land Berhad dan Maple Hospitality Group berganding bahu memperkasa landskap penginapan jangka pendek Sabah

Golden Land Berhad dan Maple Hospitality Group berganding bahu memperkasa landskap penginapan jangka pendek Sabah

Wakil Golden Land Berhad Stewart Yap (Kiri) dan Maple Hospitality Group Danny Hor meraikan kerjasama eksklusif yang menjadikan The Playground @ Kota Kinabalu sebagai satu-satunya pembangunan berjenama MapleSuites di Sabah, menawarkan pengalaman hospitaliti moden serta nilai pelaburan jangka panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Golden Land Berhad (GLB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dengan Maple Hospitality Group (MHG) bagi memperkenalkan jenama MapleSuites secara eksklusif di Sabah menerusi pembangunan terbaharunya, The Playground @ Kota Kinabalu.

Kerjasama itu menjadikan The Playground @ Kota Kinabalu sebagai satu-satunya projek di Sabah yang beroperasi di bawah jenama MapleSuites, sekali gus meletakkan pembangunan berkenaan sebagai destinasi penginapan jangka pendek berkonsepkan gaya hidup di negeri ini.

Pembangunan itu menggabungkan konsep kediaman moden, penginapan jangka pendek, pengalaman gaya hidup serta nilai pelaburan jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif GLB, Stewart Yap berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran kumpulan itu di Malaysia Timur, khususnya Sabah.

Menurut beliau, The Playground @ Kota Kinabalu dibangunkan bukan sekadar sebagai projek hartanah konvensional, sebaliknya sebagai pembangunan yang menggabungkan elemen budaya, gaya hidup, penginapan jangka pendek dan penciptaan nilai jangka panjang.

“The Playground @ Kota Kinabalu mencerminkan aspirasi kami untuk mewujudkan pembangunan yang melangkaui hartanah konvensional dengan mengintegrasikan budaya, gaya hidup, penginapan jangka pendek dan penciptaan nilai jangka panjang.

“Melalui kerjasama dengan pengendali penginapan jangka pendek yang kukuh seperti MHG, kami dapat meningkatkan cadangan nilai jangka panjang aset kami di Sabah sambil mengukuhkan kehadiran kami di Malaysia Timur,” katanya dalam kenyataan.

The Playground @ Kota Kinabalu direka sebagai pembangunan suite komersial yang menggabungkan elemen gaya hidup, penginapan jangka pendek dan pengalaman berteraskan komuniti.

The Playground @ Kota Kinabalu dibangunkan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penginapan bandar jangka pendek, selain menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perjalanan perniagaan dan minat pelabur terhadap penginapan servis.

Projek itu direka sebagai pembangunan suite komersial yang menggabungkan elemen gaya hidup, penginapan jangka pendek dan pengalaman komuniti.

Kerjasama berkenaan turut mencerminkan strategi pengembangan GLB di Sabah, yang disokong oleh peningkatan permintaan pelancongan serta pertumbuhan pembangunan bandar di negeri itu.

Ditubuhkan di Sabah pada 1982, GLB pada awalnya beroperasi dalam industri pembalakan menerusi nama Tanah Emas Telupid Sdn. Bhd. sebelum mempelbagaikan perniagaan ke sektor perladangan pada 1986.

Syarikat itu kemudian disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia pada 1996 sebagai Tanah Emas Corporation Berhad sebelum dipindahkan ke Papan Utama pada 2009 di bawah nama Golden Land Berhad.

Pada 2016, GLB mengembangkan perniagaannya ke sektor pembangunan hartanah menerusi pelancaran Midtown Plaza Sandakan, sekali gus menandakan kemasukan kumpulan itu ke dalam industri hartanah.

Kini, GLB mempunyai portfolio pembangunan kediaman, komersial dan industri ringan di beberapa lokasi termasuk Golden Gateway di Pulau Pinang; D’Sini Residences, Setia Alam; Taman Lavender Residences, Bentong dan The Playground @ Kota Kinabalu.

Tumpuan semula GLB terhadap Sabah turut diterjemahkan menerusi perancangan pembangunan akan datang termasuk projek industri ringan di Putatan dan pembangunan kediaman di Likas.

“Kerjasama itu menandakan pencapaian penting bagi kedua-dua syarikat, yang menggabungkan visi pembangunan aspirasi GLB dengan kepakaran pengurusan penginapan jangka pendek MHG” kata Stewart Yap

Sementara itu, MHG yang diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Rangkaian Syarikat Pengurusan Penginapan Jangka Pendek Terbesar di negara ini kini menguruskan lebih 3,000 bilik di destinasi pelancongan dan perniagaan utama seluruh Malaysia.

Kumpulan itu juga telah memudahkan lebih satu juta tempahan tetamu dengan sokongan lebih 200,000 ulasan tetamu yang disahkan.

MHG mengendalikan tiga jenama penginapan jangka pendek di bawah ekosistemnya iaitu MapleHome, MapleSuites dan MapleReserve, yang memenuhi pelbagai segmen pasaran daripada penginapan mampu milik kepada penginapan butik serta pengalaman mewah.

Pengasas bersama MHG, Danny Hor berkata, Sabah mempunyai potensi pertumbuhan yang kukuh dalam industri penginapan jangka pendek, didorong oleh permintaan pelancongan dan keperluan terhadap penginapan berkualiti.

“Sabah mewakili koridor pertumbuhan yang kukuh bagi industri penginapan jangka pendek, didorong oleh peningkatan permintaan pelancongan dan minat yang semakin berkembang terhadap penginapan jangka pendek berkualiti.

“Kami percaya kerjasama strategik seperti ini membolehkan kami menyediakan pengalaman penginapan jangka pendek yang lebih baik sambil mencipta nilai jangka panjang kepada pemilik hartanah, tetamu dan keseluruhan ekosistem pelancongan,” katanya.

Kerjasama GLB dan MHG itu dijangka memperkukuh landskap hartanah serta penginapan jangka pendek di Sabah menerusi pembangunan yang mempunyai elemen gaya hidup dan nilai pelaburan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN